SHAH ALAM - Perpaduan ummah Muafakat Nasional (MN) sukar dicapai kerana terdapat golongan yang mengharapkan kesatuan itu hancur demi kepentingan peribadi.
Pengarah Strategi Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, agenda MN menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana golongan yang menolak Islam seperti ditunjukkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika mentadbir negara bersama Pakatan Harapan (PH).
"Kesatuan umat ini tidak mudah. Ramai yang sedang mendoakan kejayaan kesatuan ini sepertimana adanya golongan yang mengharapkan kehancuran perpaduan ini kerana kepentingan peribadi sendiri.
"Justeru, slogan ‘No DAP, No PKR’ sentiasa dilaungkan dan dijadikan asas persefahaman.
"Malah, Pas keluar daripada Pakatan Rakyat pada tahun 2015 juga atas asas menolak agenda DAP dan PKR yang dilihat songsang tidak menguntungkan Islam,” katanya melalui siaran Facebook beliau pada Sabtu.
Mohd Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, MN ditubuhkan untuk menyatukan persaudaraan dan kuasa politik umat Islam.
"Ia melangkaui kepentingan parti masing-masing. Ia tidak bertujuan menjadikan mana-mana parti mendominasi satu sama lain.
"Ia semata-mata untuk memperkasakan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, sekali gus memberi jaminan keselamatan dan kebajikan untuk rakyat minoriti,” ujarnya.
Tambah beliau, penyatuan dalam kalangan pemimpin amat penting dan menjadi asas kestabilan kerajaan.
"Kerajaan perlu dilihat sentiasa memperjuangkan isu dan kepentingan rakyat. Kritikan yang dibuat mestilah dengan hasrat ke arah memperkasakan kerajaan bersama.
"Tidak wajar isyarat yang salah disampaikan kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan isu kesusahan ekonomi dan pengangguran akibat pandemik covid-19,” jelas beliau.
Pada Jumaat, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, Pas menolak sebarang agenda peribadi yang hanya untuk menyelamatkan pemimpin serta anggotanya berbanding menyelesaikan masalah negara serta rakyat.
Abdul Hadi berkata, parti tersebut juga menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas tolak agenda selamatkan pemimpin: Abdul Hadi