KUALA LUMPUR - KDEB Waste Management (KDEBWM) berjaya merangkul anugerah International Business Review ASEAN 2020 bagi Kategori Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Utiliti oleh The IBR Asia Group.
Ketua Media dan Perhubungan Awamnya, Mahfuzzah Muhamad Tarmidi berkata, anugerah berprestij itu disampaikan kepada KDEBWM atas prestasi cemerlang dalam mentransformasikan industri sampah di negeri ini.
Menurutnya, KDEBWM berjaya menerapkan model perniagaan pengurusan sisa pintar melalui penggunaan teknologi pintar dan Internet of Things (IoT) dalam operasi harian.
"Pengiktirafan berprestij dari The IBR Asia Group ini menambah lagi pengiktirafan yang diterima oleh KDEBWM pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mewakili kerajaan Selangor bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah KDEBWM hadir menerima anugerah tersebut pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mahfuzzah berkata, selain anugerah itu, KDEBWM turut menerima pengiktirafan dari Frost and Sullivan pada Julai tahun lalu.
"Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pembakar semangat bagi KDEBWM bagi permulaan tahun 2021 ini, bahkan menjadi pemangkin bagi KDEBWM untuk terus komited dalam memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik.
"Selain itu, KDEBWM berharap dapat memperkembangkan perkhidmatan di seluruh Malaysia dan juga antarabangsa termasuk perancangan membina loji pelupusan Sisa Pepejal kepada Tenaga (WTE) di Selangor," katanya.
KDEBWM merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor telah dilantik sebagai Project Management Company yang diberi tanggungjawab melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.
Selain itu, KDEBWM telah mengambil alih kerja-kerja kutipan domestik dan pembersihan awam di keseluruhan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Selangor serta kutipan pepejal bagi institusi, komersial dan Industri di beberapa kawasan PBT.