KAJANG - Seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah antara tiga individu diberkas polis dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Grand Saga menghala ke arah Kuala Lumpur di sini pada Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman pada jam 12.30 tengah malam itu mendapati tiga penunggang motosikal terbabit melakukan aksi bersaing sesama sendiri, 'superman' dan zig zag.
Menurutnya, aksi itu jelas boleh mendatangkan bahaya kepada diri termasuk pengguna jalan raya yang lain.
"Kesemua penunggang berusia 16 dan 20 tahun itu didapati melakukan aksi terbabit bermula dari Kilometer 17 Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung sehingga Kilometer 15 susur ke Cheras Perdana di Lebuh Raya Grand Saga.
"Mereka juga telah membuat pusingan menghala ke arah Kajang dan kembali berlumba dari Kilometer 15 Cheras Perdana sehingga ke Kilometer 20. Mereka didapati mengulangi aksi berkenaan sebanyak satu kali," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua remaja berkenaan melakukan aksi berbahaya kerana ingin menguji motosikal masing-masing.
Katanya, susulan itu kesemua motosikal terbabit jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Lagenda 115Z telah disita untuk tindakan lanjut.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.