Pemilihan parti: UMNO tidak perlu tunggu akhir tahun

Iklan
Khairy Jamaluddin

ISKANDAR PUTERI - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengulangi pendirian agar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO segera mengadakan pemilihan parti dan tidak menunggu sehingga akhir tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut memberi gambaran bahawa sekiranya pemilihan diadakan lebih cepat, ia lebih baik untuk parti.

Iklan
Iklan

"Bagi saya lagi cepat lagi bagus. Tidak perlu tunggu sampai akhir tahun", katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Pada 30 Mac lalu, Khairy menggesa MKT UMNO supaya mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu berkata, pemilihan UMNO dijangka diadakan pada hujung tahun ini, namun tarikh sebenar pemilihan bergantung kepada PRU15.

Mohamad berkata, mengikut perlembagaan parti, UMNO mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk menangguhkan pemilihan bermula dari tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang diadakan pada 28 Mac lalu.

Iklan

Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan pada tahun lalu, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.