MP bantu ibu anak 10 kena halau rumah sewa

Iklan
Steven berkata, ketika beliau tiba di rumah sewa wanita itu, dia mendapati Ros sedang termenung memikirkan nasibnya dan menangis selepas menyedari kehadirannya.
GEORGETOWN- Seorang ibu anak sepuluh buntu selepas dihalau dari rumah sewanya di Bukit Mertajam kerana gagal membayar sewa bulanan.

Lebih menyedihkan, wanita yang dikenali sebagai Ros itu sudah siap mengemas semua barang miliknya dan termenung di luar rumah sewanya itu sambil memikirkan arah tujuannya selepas dihalau pemilik rumah.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang bergegas bertemu Ros untuk menghulurkan bantuan dalam laman Facebooknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau sepatutnya menghadiri mesyuarat penting bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng namun terpaksa membatalkannya selepas menerima maklumat mengenai wanita malang itu.

Steven berkata, ketika beliau tiba di rumah sewa wanita itu, dia mendapati Ros sedang termenung memikirkan nasibnya dan menangis selepas menyedari kehadirannya.

Iklan

"Saya terima makluman ada sebuah keluarga di Bukit Mertajam kena halau dari rumah sewa sebab ibu mereka tidak mampu bayar sewa.

"Saya terus pergi ke sana dan mendapati mereka sudah pun berkemas dan duduk di luar rumah, buntu sebab tak ada tempat nak pergi.

Iklan

"Ibunya Puan Ros ada 10 orang anak, paling kecil hanya berumur tiga tahun. Dia duduk di luar rumah menangis terkenang nasib anak-anaknya. Kasih seorang ibu tidak ternilai, susah senang anak didahulukan," katanya.

Beliau yang simpati dengan nasib wanita tersebut telah berjanji akan membantu mendapatkan kediaman baharu untuk mereka sekeluarga.

"Saya bagi tahu Puan Ros, saya akan pastikan sebelum matahari turun hari ini (Ahad), keluarga mereka akan ada bumbung atas kepala (rumah untuk berteduh).

"Kemudian saya bawa wanita itu dan anak-anaknya ke Pasaraya Tesco Bukit Mertajam untuk membeli barang-barang keperluan. Dua troli penuh saya belikan barangan keperluan.

"Juruwang pun terkejut ingat kami borong untuk niaga. Moga-moga cukup bekalan Ramadan sehingga hujung Syawal," katanya.

Steven berkata, beliau turut membeli alat permainan kepada anak wanita itu yang masih kecil.

"Lepas tu, budak-budak nampak kedai barang mainan, mereka terdiam, tapi saya tahu hati mesti tergerak juga. Saya ada anak kecil, tiap kali nampak kedai barang mainan mesti minta nak masuk. Saya bawa mereka masuk, beli mainan kegemaran mereka.

Steven membeli barangan keperluan kepada Ros sekeluarga.

"Kebetulan di luar (Pasaraya) Tesco ada bazar jual baju raya. Dah sampai kat situ, takkan tak beli. Jadi, (saya belia) seorang sepasang baju baru.

"Puan Ros kata tak perlu beli untuk dia, beli untuk anak-anak cukup. Dia tak pernah beli baju raya. Saya bagi tahu anak-anak, kali ini kita mesti beli sepasang baju baru untuk ibu. Semua pakat pilih baju untuk ibu (mereka)," katanya.

Beliau juga membeli sebuah 'tablet' kepada seorang anak wanita tersebut yang mesra dipanggil 'kakak' untuk memudahkannya belajar.

"Kakak yang sekolah menengah, saya belikan tablet. Saya cakap, asal chek mau pi sekolah, pakcik akan pastikan adik-adik terus belajar walaupun susah macam manapun. Hanya ilmu di dada mampu mengubah nasib kita," katanya.

Katanya lagi, beliau amat sayu apabila mengetahui semua anak wanita itu tidak pernah berpeluang makan di sebuah restoran makanan segera.

"Akhir sekali, kami makan mekdi (McDonald) di tepi Tesco. Bila nak pesan makanan, mereka semua diam. Saya ingat mereka tak suka. Tapi rupa-rupanya, semua tak pernah makan mekdi, jadi tak tahu nak pesan apa.

"Ok, takpa, pakcik tolong pesankan. Setiap seorang satu set Happy Meal, pakcik dan ibu makan burger," katanya.

Steven membawa Ros sekeluarga makan di restoran makanan segera sebelum membawa mereka ke rumah sewa yang baru.

Dalam perkongsian itu juga, Steven memaklumkan bahawa beliau berjaya mendapatkan rumah sewa baharu untuk keluarga tersebut.

"Lepas tu, kami ke rumah baru. Puan Ros tanya sewa rumah berapa? Saya jawab jangan bimbang, saya akan tanggung sampai dia dapat rumah kerajaan nanti.

"Lepas hampir setengah hari, kami semua pun letih. Tapi Puan Ros sekeluarga sekarang ada rumah baru, baju baru, tablet baru, peti ais dah penuh (sampai satu rak pecah sebab terlalu berat," katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, wanita itu hanya meminta daripadanya mesin pengisar bagi memudahkan dia memasak untuk anak-anaknya.

"Puan Ros minta satu saja, mesin pengisar nak masak untuk anak-anak.

Terlupa beli kat Tesco, jadi saya pergi pasaraya berdekatan, beli 'blender' jenama Khind.

"Bila dia dapat blender, Puan Ros tersenyum begitu manis sekali. Saya dah janji ini hari gembira buat Puan Ros sekeluarga, syukur teramat sangat saya dapat berkongsi kegembiraan itu," katanya.

Perkongsian Ahli Parlimen DAP di Facebooknya itu mendapat 16,000 tanda suka selain dikongsi oleh 3,100 pembaca dengan 4,100 komen.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan perincian mengenai wanita tersebut gagal selepas Steven tidak menjawab panggilan telefon dan tidak membalas mesej di WhatsApp.