TANAH MERAH - Polis menahan 10 remaja termasuk empat perempuan bagi membantu siasatan kes pergaduhan dalam satu video yang tular di laman sosial sejak Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, remaja yang berumur lingkungan 14 hingga 17 tahun ditahan pada Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dua daripada remaja berkenaan tidak bersekolah.
"Kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad setelah selesai keterangan diambil.
"Salah seorang remaja lelaki yang ditahan turut positif dadah jenis methamphetamine," katanya di sini pada Ahad.
Menurutnya, kejadian yang berlaku di kawasan lapang berhampiran sebuah sekolah di Tanah Merah itu adalah berpunca daripada berebut teman lelaki.
Zainuddin berkata, kertas siasatan dalam proses untuk dilengkapkan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pihak polis mengesan remaja perempuan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di satu lokasi selepas video aksi mereka itu tular di Facebook sejak Jumaat.
Video berdurasi selama 30 saat itu menunjukkan seorang remaja perempuan memukul dan menendang seorang remaja perempuan yang lain dipercayai berpunca daripada tidak puas hati.
Turut kelihatan dalam video tersebut adalah dua lagi remaja perempuan yang didakwa menyaksikan pergaduhan tersebut.