NAZIRUL Izzat Mohd Bahauddin yang baru menyertai Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor musim ini, menghadiahkan kemenangan pertama musim 2021 kepada pasukan tersebut di pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di litar Sepang Utara pada Ahad.
Kemenangan Nazirul yang dicatat dengan masa 14’38.028s merupakan kemenangan CP150 kedua bagi pelumba berusia 21 tahun itu. Nazirul memulakan perlumbaan di Litar Sepang Utara itu dari barisan kedua. Petak pertama disambar oleh Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team.
Namun begitu, Azroy Hakeem sedikit tertinggal sebaik perlumbaan CP150 Akhir sepanjang 11 lap itu dimulakan. Aiman Tahiruddin dari Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing muncul sebagai pendahulu awal perlumbaan tetapi Aiman tidak dapat menyekat kemaraan pelumba-pelumba lain dalam kelompok pertama.
Nazirul pula bijak mempertahankan kedudukan di dalam kelompok tersebut. Pada lap terakhir, Nazirul mula mengorak langkah memperbaiki posisi perlumbaan. Dari tempat ke-7 di lap 10, Nazirul muncul di garisan hadapan pada selekoh terakhir lap terakhir.
Strategi bijak Nazirul itu membolehkan pelumba kelahiran Negeri Sembilan itu melakar kemenangan kedua kategori premier Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas.
"Saya begitu berpuas hati dengan keputusan hari ini. Kemenangan ini sememangnya begitu berharga bagi saya. Setelah lebih enam bulan tidak beraksi akibat kecederaan tangan, kemenangan ini telah memulihkan tahap keyakinan saya untuk terus berjuang untuk merebut takhta CP150 musim ini. Kemenangan ini lebih berharga kerana ianya hadiah awal untuk pasukan baru saya – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor,” kata Nazirul. Kemenangan terakhir Nazirul dicatat pada musim 2019 di Kangar.
Azroy Hakeem Anuar menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dengan catatan masa 14’38.096s. Tempat ketiga dihadiahkan kepada pelumba SCK Honda Racing Team, Mohd Izam Ikmal.
Dengan kemenangan ini, Nazirul mengambil alih kepimpinan kategori CP150 dengan 29 mata. Mohd Muzakkir Mohamed jatuh ke tangga kedua dengan 28 mata manakala Mohd Izam Ikmal kini menduduki tangga ke-tiga keseluruhan dengan 25 mata.
Sementara itu, perlumbaan akhir CP125 dimenangi Mohd Adib Rosley dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team dengan catatan masa 11’27.095s. Hanya 0.003 saat membezakan kedudukan Adib di tangga pertama dengan Mohd Hafiza Rofa dari ONEXOX TKKR Racing Team di tempat kedua. Ahmad Syukran Aizat mengisi podium ketiga dengan 11’27.159s. Adib kini mendahului buruan takhta CP125 dengan 41 mata kejuaraan.
Dalam kategori Wira KBS pula, Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing tetap dominan dalam kategori junior itu apabila sekali lagi menyapu bersih podium perlumbaan Wira Akhir. Mohd Aqil Danial Nasrul menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan 10’07.020s diikuti Danial Johan dan Mohd Syamil Amsyar Mohd Iffende.
Pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas akan berlangsung di Litar Tangkak, Johor pada 22 dan 23 Mei depan.
CP150
1. Nazirul Izzat Bahauddin (Yamaha, Petronas Sprinta Yamaha – Maju Motor), 14’38.028s
2. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 14’38.096s
3. Mohd Izam Ikmal (Honda, SCK Honda Racing Team), 14’38.291s
CP125
1. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 11’27.095s
2. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 11’27.098s
3. Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff (Yamaha, Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 11’27.159s
WIRA KBS
1. Mohd Aqil Danial Nasrul (Yamaha, Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing), 10’07.020s
2. Danial Johan (Yamaha, Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing), 10’07.189s
3. Mohd Syamil Amsyar M Iffende (Yamaha, Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing), 10’07.195s