SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pihak tertentu supaya tidak menghina dan mempermainkan agama Islam kerana ia merupakan kesalahan jenayah syariah di seluruh negeri.
Menurut kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah, terdapat peruntukan yang membabitkan kesalahan itu diletakkan dalam bahagian yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.
"Selangor amat mengambil berat berkenaan jenayah menghina dan mempermain-mainkan agama Islam," kata kenyataan itu pada Ahad.
Justeru, kenyataan itu berkata, baginda meminta rakyat memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat bertajuk 'Jangan hina Islam' yang disampaikan khatib di seluruh masjid di negeri ini pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, baginda mahu umat Islam sedar dan berwaspada kerana musuh-musuh Islam sering menjadikan Islam sebagai sasaran dalam pelbagai bentuk.
"Sindiran dan persepsi yang jauh terpesong daripada kebenaran adalah antara bentuk-bentuk penghinaan yang sering berlaku.
"Fenomena ini disokong oleh perbuatan biadab umat Islam itu sendiri yang bersikap acuh tidak acuh terhadap ilmu agama, malah membiarkan diri dalam kejahilan dan ketirisan akhlak," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, baginda bertitah, terdapat pihak yang sanggup melakukan senda gurau terhadap hukum-hukum Islam, mengolok-olokkan syariat dan peraturan, mempermain-mainkan hukum untuk menghina syariat beragama.
"Turut mendukacitakan baginda, hari ini, ada manusia yang suka mempermainkan kalimah ALLAH malah mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bercanggah dengan akhlak dan akidah Islam.
"Tidak sedarkah mereka dengan kebiadaban sebegini mengundang kemurkaan ALLAH? Apakah mereka bahawa tindakan itu amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW?" kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, baginda turut mengingatkan pemimpin mempertahankan kemuliaan Islam.
"(Pemimpin) hendaklah sentiasa berperanan dan bersikap tegas berlandaskan nas syariat serta peruntukan perundangan negara," kata kenyataan itu.