Langkah yang tidak bijak

Iklan
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena PAU 2020 pada 28 Mac lalu. - Foto Bernama

SEPERTI tahun-tahun sudah, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sentiasa menjadi tumpuan ahli parti dan parti lawan, tidak kira semasa menjadi kerajaan atau pembangkang kerana kebiasaan PAU banyak membincangkan isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti ekonomi, pekerjaan dan pendidikan.

Namun PAU 2020 kali ini cukup berbeza kerana seolah-olah menentukan hidup dan mati parti tersebut. Perbahasan berkisar kepada riwayat dan survival UMNO.

Iklan
Iklan

Tiada yang salah dan memang PAU adalah medan terbaik sebagai tempat mendengar suara akar umbi terhadap perjuangan mereka.

Lebih pelik walaupun sebahagian daripada kerajaan, PAU kali ini memperlihatkan seolah-olah mereka bukan daripada sebahagian kerajaan.

Iklan

Perwakilan menghentam apa sahaja yang dilakukan kerajaan sedangkan sembilan menteri dalam kabinet Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah daripada UMNO.

Lebih menjadi parah ialah ugutan secara terbuka supaya menteri dan timbalan menteri daripada UMNO supaya menarik diri daripada kerajaan adalah suatu perkara yang dilihat tidak bijak dan tidak mencerminkan kematangan UMNO sebagai parti yang menerajui kerajaan lebih 60 tahun.

Iklan

Desakan itu muncul ketika kerajaan sedang sibuk memerangi Covid-19 dengan dua orang menteri daripada UMNO bertanggungjawab terhadap program vaksinisasi negara iaitu Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sangat tidak masuk akal kerana kepentingan politik semata-mata, mereka dipaksa meninggalkan tanggungjawab yang lebih besar daripada kepentingan rakyat yang merentasi kefahaman politik di seluruh negara.

Justeru, sekiranya UMNO berterusan memberi tekanan sebegini, risiko pandangan negatif rakyat kepada parti itu amat tinggi.

Beberapa perkara dari sudut politik yang dibincangkan kali ini memang menentukan hala tuju dan kestabilan politik negara.

Sebagai parti politik, apa yang dibangkitkan tentang kejujuran politik dalam gabungan kerajaan PN dan masa depan parti itu tidak boleh dinafikan.

Sudah pasti UMNO akan meneliti keuntungan parti tersebut pada pilihan raya umum yang akan datang.

Cuma UMNO perlu sedar bahawa gerakan politik masa kini adalah bersifat dinamik dan makin terbuka.

Rakyat makin bijak membuat pertimbangan untuk pilih parti mana untuk menerajui negara.

Politik tidak boleh hanya bersandarkan kepada sejarah kehebatan lama semata-mata tetapi juga kepada kesediaan menerima perubahan yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat.

UMNO tidak boleh hanya mendengar suara akar umbi berjumlah lebih tiga juta sahaja kerana realitinya jumlah itu hanya mewakili kurang 20 peratus pengundi kelak. Hampir 30 peratus pengundi di Malaysia tidak berparti dan atas pagar dan pasti UMNO memahami realiti yang perlu dihadapi ini.

Tiada masalah untuk UMNO tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Cuma ugutan tarik diri daripada kerajaan perlu ditegur dan mereka perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagi keutamaan.

Keputusan awal untuk mendokong kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan perlu dikekalkan.

UMNO sebagai parti yang perkasa, sarat dengan pengalaman dan sejarah gemilang yang sentiasa meletakkan keutamaan rakyat sebelum tidak harus hilang arah kerana kepentingan politik semata-mata.

Jangan jadikan UMNO sebagai perisai kepada kepentingan individu tertentu yang berselindung di sebalik parti.

Semoga jasa dan budi UMNO sebelum ini yang cukup baik walaupun tidak sempurna tidak akan lenyap begitu sahaja.

*Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah penganalisis strategis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM)