SETIAP yang bernyawa pasti akan mati. Semua yang bergelar makhluk atau hamba sama ada manusia, haiwan mahupun tumbuhan semuanya akan meninggalkan alam fana ini, cuma tidak diketahui bila saatnya.
Sebab itu jika kita ke tanah perkuburan, ada kubur bayi, ada kubur kanak-kanak dan ada kubur orang dewasa.
Maka sebagai ciptaan yang tidak kalis mati, kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian.
Ibnu Umar berkata,"Aku bersama Rasulullah lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda mengucapkan salam dan bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum Mukminin yang paling utama?
Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum Mukminin yang paling cerdik? Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Saya teringat kata-kata ‘apek᾿dalam filem Madu Tiga yang berbunyi,"Hidup susah, mati pun susah.” Sesuai betul dialog itu dengan realiti hari ini. Nak hidup pun susah, apatah lagi untuk mati.
Dalam kehidupan ini ada beberapa perkara yang kita tidak boleh atur mahupun rancang sebaiknya.
Antaranya di mana dan bila kita dilahirkan, dalam keluarga mana kita dilahirkan dan dibesarkan dan bila kita meninggal dunia.
Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan susah tetapi ada pilihan untuk memajukan diri untuk berjaya.
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik Covid-19 kini, ramai yang terpaksa berkorban mencari sesuap nasi. Kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang.
Yang menyedihkan lagi apabila berlaku kematian kerana semuanya memerlukan wang.
Mati itu percuma tetapi kos mengendalikan kematian bukannya rendah. Semua perlu bayaran sedangkan menguruskan jenazah merupakan fardu kifayah.
Hati mulia
Walau bagaimanapun negara kita tidak kurang mereka yang berhati mulia. Antaranya ialah aktivis masyarakat terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
Beliau telah meletakkan dua van jenazah selama 24 jam sehari di kedai mamak di Jalan PU 7/4, Taman Puchong Utama, Puchong.
Sesiapa sahaja yang boleh memandu van boleh menggunakannya.
Mereka yang memerlukan van jenazah tetapi tidak mampu untuk menanggung kos berkaitan boleh menggunakan van yang disediakan bila-bila masa diperlukan. Petrol sedia diisi penuh.
Pengguna hanya perlu merekodkan nama serta nombor telefon dalam buku yang disediakan.
Kakitangan kedai mamak berkenaan akan memberikan kunci van jenazah tersebut. Memang sangat mudah.
Begitu juga van jenazah Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di bawah program Wakaf Kaseh Van Jenazah yang menyasarkan golongan asnaf.
Perkhidmatan van jenazah POKB disediakan untuk tiga kategori iaitu waris asnaf dan penerima zakat, waris yang sederhana mampu dan waris mampu.
Untuk penerima zakat, segala urusan mandi jenazah, kafan dan solat serta penghantaran akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak POKB.
Bagi kategori kedua, mereka boleh membayar setakat termampu dan selebihnya ditanggung oleh POKB manakala kategori ketiga pula akan dikenakan caj minimum.
Semoga perkhidmatan van jenazah serta pengurusan jenazah sebegini dapat diadakan di setiap ceruk di Malaysia agar dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai lagi mereka yang tidak berkemampuan kerana mati itu percuma.
* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia