Tetap teruskan pengajian walau tenat

Iklan
Pro Canselor Usim, Tun Zaki Azmi (tiga, kanan) melihat sijil diterima keluarga penerima penganugerahan ijazah secara anumerta pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Usim di sini, semalam. ( Gambar kecil ) Ajik dan isteri, Jainas Dater, 50, sebak melihat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian diperolehi Allahyarham Noor Sahadah, semalam.
NILAI - Sedar dan mengetahui tahap kesihatan diri yang kritikal, namun dia tetap mahu menamatkan pengajian selain berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kecekalan Allahyarham Noor Sahadah Ajik, 22, yang juga pelajar Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian (FSU) ternyata membanggakan ibu bapanya walaupun tidak sempat menamatkan pengajian.

Ajik Sanim, 53, berkata, anaknya itu menghidap penyakit kronik iaitu kegagalan buah pinggang tahap akhir dan disahkan sakit pada 2016, selain menyedari penyakit tersebut sudah di peringkat keempat.

"Cita-citanya mahu menjadi peguam walaupun tahu sedang menghidap penyakit kronik. Kesihatannya semakin merudum tetapi tidak sedikit pun dia mengeluh malahan sebolehnya mahu menamatkan pengajiannya.

"Doktor juga terpaksa akur apabila dia tetap nak teruskan dan membenarkannya menyambung pengajian termasuk menduduki peperiksaan meskipun doktor sudah memberi kata dua sama ada berhenti belajar atau tangguh memandangkan keadaannya semakin tenat.

"Sampai satu tahap, anak saya sanggup masuk kuliah dengan membawa beg rawatan dialisis di perut iaitu Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang disambungkan dari tubuhnya," katanya.

Difahamkan CAPD yang digunakan itu, memerlukan Noor Sahadah menggunakannya empat kali sehari dan setiap sesi selama 30 minit diperlukan.

Setiap kali sesi CAPD, dia akan ke bilik khas yang disediakan pihak Usim untuk membolehkannya jalani rawatan yang dilakukannya sendiri.

Allahyarham Noor Sahadah yang menerima penganugerahan ijazah secara anumerta pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Usim di sini, semalam, menghembuskan nafas terakhir pada 10 Februari lalu, saat pertama kali menjalani latihan industri di Mahkamah Rendah Syariah Kota Belud, Sabah.

Manakala seorang lagi pelajar menerima penganugerahan sama, Allahyarham Nurnadiana Ramlee, 22, iaitu pelajar Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) (FST) dari Johor dan anumerta diberikan kepada ibunya.

Nurnadiana yang menghidap jangkitan virus kronik pada kulit dan organ dalaman, disahkan meninggal dunia pada 9 April lalu ketika menjalani latihan industri tersebut dan skrol diterima ibunya, Rozanah Abd Rajab, 50, dalam suasana yang cukup sayu.