Faizal tabik semangat juang pemain THT

Iklan
Pemain THT meraikan kejayaan menjulang Piala TNB selepas menewaskan UniKL dalam aksi final di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil pada Sabtu.

KEJAYAAN Terengganu Hockey Team (THT) muncul juara Piala TNB selepas menewaskan juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi final di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil disifatkan sebagai pengalaman paling bermakna dalam mengharungi saingan domestik musim ini.

Kapten THT, Faizal Saari berkata, biarpun ketinggalan dua gol pada peringkat awal, kesemua pemain THT berjaya bangkit menyamakan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan berkenaan yang diheret ke penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 4-4 hingga tamat masa sebenar permainan.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, aksi final semalam (Sabtu) adalah salah satu aksi final yang paling menarik buat THT kerana kami berjaya bangkit daripada ketinggalan hingga berjaya memenangi perlawanan.

"Tidak ada apa-apa rahsia atau formula cuma kami hanya mengikuti perancangan yang telah diatur tanpa mengubah apa-apa.

Iklan

"Alhamdulillah, segala perancangan berkenaan menjadi hingga akhirnya kami berjaya muncul juara Piala TNB kali ini,” katanya.

Pada aksi final berkenaan, UniKL menjaringkan dua gol awal menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit kesembilan dan minit ke-13.

Iklan

Bagaimanapun, THT kemudiannya bangkit dengan tiga gol dalam tempoh 11 minit hasil jaringan Faizal Saari pada minit ke-15, Muhammad Arif Syafie (17') dan Mohamad Akhimullah Anuar Esok (21').

UniKL kemudiannya kembali merapatkan kedudukan hasil jaringan Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-35, namun Faizal menjaringkan gol keempat THT pada minit ke-38.

Bagaimanapun, Ashran Hamsani menjaringkan gol keempat UniKL pada minit ke-51 bagi mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Pada penentuan penalti itu, pemain THT, Syarmat Mat Tee dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi berjaya menyempurnakan pukulan masing-masing sekali gus mengesahkan kejuaraan kelab dari Terengganu tersebut.

Dalam pada itu, Faizal turut berterima terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantunya bagi menjaringkan gol pada aksi final berkenaan.

"Sebagai penyerang, fokus saya memang untuk menjaringkan gol buat pasukan dan alhamdulillah, semua usaha saya mendapat sokongan daripada rakan sepasukan.

"Rakan-rakan sepasukan sangat membantu dan saya mencuba sedaya upaya memanfaatkan setiap peluang yang diperolehi bagi menghasilkan jaringan,” katanya.