ALOR SETAR - Pemberian Elaun Sara Hidup (ESH) secara bulanan kepada nelayan perlu ditambah, bukan dipotong demi membantu golongan tersebut.
Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berharap pemberian elaun ditambah RM100.
Menurutnya, elaun sara hidup berkenaan perlu ditingkatkan sebanyak RM100 menjadikan jumlah keseluruhan RM400 berbanding RM300 sebelum ini demi membela nasib nelayan.
"Dalam tempoh sebulan ini, saya ada mendengar ura-ura mengatakan elaun sara hidup yang akan diterima bulan Februari dikurangkan daripada RM300 kepada RM200.
"Sepatutnya, elaun sara hidup ditambah lagi sebanyak RM100 dan bukannya jumlah elaun diterima nelayan secara bulanan berkenaan dikurangkan," katanya.
Che Ani berkata, pihaknya menyambut baik pemutihan kerana ia memastikan hanya nelayan betul-betul layak akan menerima elaun itu, namun bukanlah jumlah yang dikurangkan.
"Jikalau elaun dipotong seperti khabar angin, nelayan tidak berkemampuan menanggung keluarga dan kos sara hidup mereka. Tapi, jika dapat elaun maka kehidupan mereka terjamin sedikit. Risau beri kesan kepada nelayan," katanya.
"Ini sekali gus jejaskan sumber perikanan negara. Jikalau diambil kira berdasarkan subsidi, pemberian subsidi negara kita masih rendah berbanding negara seperti Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan Eropah,"katanya.
Menurutnya, nelayan yang menjadi pembekal sumber protein dan menjamin bekalan makanan negara, maka mereka perlu diberi perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, Che Ani berkata, pihaknya berharap pemberian subsidi diesel kepada nelayan besar dianggarkan lebih kurang RM61 juta dapat dikaji semula.
"Bayangkan, bilangan nelayan bot besar tidak ramai tetapi jumlah subsidi diterima besar, iaitu sekitar 93 peratus, sementara nelayan pantai memperoleh subsidi kira-kira 7 peratus sahaja yang dirasakan kurang adil," katanya.