Muhyiddin adakan pertemuan dengan Sultan Brunei

Iklan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarangsa Bandar Seri Begawan semalam. Foto Bernama

BANDAR SERI BEGAWAN - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 11.10 pagi, Isnin.

Mesyuarat empat mata itu diadakan di Istana Nurul Iman. Sultan Hassanal Bolkiah juga merupakan Perdana Menteri Brunei.

Iklan
Iklan

Perbincangan meliputi perkembangan hubungan khas yang sedang berlangsung, meningkatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama pasca-Covid.

Ini, antara lain termasuk perbincangan mengenai pewujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), memulakan kerjasama dalam diplomasi vaksin antara kedua-dua negara dan mempromosikan kerjasama erat dalam bidang ekonomi serta isu serantau dan antarabangsa.

Iklan

Hari ini merupakan hari terakhir Muhyiddin dalam lawatan rasmi dua hari ke negara ini sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.

Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah kemudian akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian.

Iklan

MoU mengenai kerjasama dalam pengurusan bencana antara dua negara akan ditandatangani oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Datuk Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Perjanjian Penyatuan antara Petronas dengan Sekretariat Penyatuan Nasional Brunei (BNUS) dalam sektor minyak dan gas pula akan dimeterai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan pemangku Menteri Tenaga Brunei Datuk Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Selepas itu, Muhyiddin akan menghadiri 'Santap Rasmi' yang akan dihoskan oleh Sultan Hassanal Bolkiah di istana sebelum mengakhiri lawatan rasminya.