SHAH ALAM - Beberapa peniaga di Pasar Awam Moden Seksyen 25 di sini memberi alasan lapuk iaitu tidak sempat meletakkan tanda harga dan tidak tahu berkenaan penandaan harga bagi mengelakkan tindakan dalam operasi di sini pada Ahad.
Alasan itu diberikan ketika Operasi Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi bermula jam 9 pagi mensasarkan peniaga sayuran, ikan, daging serta barangan kering membabitkan 74 premis.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiga peniaga gagal meletakkan tanda harga dan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan terbabit.
"Alasan tidak sempat meletakkan tanda harga kerana baru mula berniaga dan ada yang berpura-pura tidak tahu bahawa penandaan harga barangan wajib bagi setiap peniaga," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, KPDNHEP tidak berkompromi dengan peniaga yang culas terhadap isu penandaan harga ini.
Menurutnya, selain itu penggunaan alat timbangan oleh peniaga juga diperiksa dan diteliti supaya sentiasa tepat bagi setiap barangan yang dibeli oleh pengguna.
Muhamad Zikril Azan turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat.
KPNHEP juga menyeru pengguna di Selangor atau orang awam menyalurkan aduan berkaitan isu berkaitan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.