Paku semua tingkap, pintu rumah elak dicekup

Iklan
Anggota AADK Pasir Puteh bertindak bijak dengan terlebih dahulu merangkak untuk menangkap lelaki yang cuba meloloskan diri melalui lubang yang dibuat pada lantai rumahnya.

PASIR PUTEH - Tindakan seorang penagih yang memaku semua jendela dan pintu rumah bagi mengelakkan dia dicekup anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh gagal.

Lelaki berusia 30 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh AADK ketika cuba meloloskan diri menggunakan lubang yang terdapat pada lantai rumahnya.

Iklan
Iklan

Anggota AADK bertindak lebih bijak dengan merangkak bawah rumah untuk menangkap lelaki itu.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Azlina Mohd Zain berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana sikap agresif penagih yang enggan menyerahkan diri ketika operasi dijalankan.

Iklan

"Dalam kejadian ini, suspek telah bertindak memaku semua tingkap dan pintu rumahnya bagi mengelakkan diri dicekup.

"Suspek cuba melarikan diri melalui lubang yang dibuat pada lantai rumah, tetapi gagal apabila berjaya dikesan oleh pihak kami," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan
Sebahagian daripada penagih yang berjaya ditangkap AADK Pasir Puteh.

Menurutnya, selain lelaki tersebut lima lagi penagih turut dicekup dalam Ops Cegah yang diadakan di sekitar jajahan ini pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua mereka positif dadah jenis Meth dan berusia dari 19 hingga 40 tahun.

Azlina berkata, lima kes disiasat bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, tiga lagi kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Kesemua suspek dibawa ke Pusat Tahanan Reman Pasir Mas untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi tersebut merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh AADK Pasir Puteh dalam mengurangkan aktiviti penagihan dadah.

Azlina berkata, operasi secara berterusan akan terus dilaksanakan oleh pihaknya dari masa ke masa.

"AADK Pasir Puteh mengambil serius masalah penagihan dadah yang boleh memberikan impak tidak baik kepada masyarakat," katanya.