SEREMBAN - Sesak. Itu yang boleh Sinar Harian gambarkan keadaan Pusat Rawatan Harian di Hospital Tuanku Jafar (HTJ) di sini, yang difahamkan menerima 274 'pesakit baharu’ dari Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) yang terpaksa dihentikan operasinya kelmarin.
Meskipun begitu, pihak HTJ dilihat berusaha sebaik mungkin bagi melancarkan urusan pendaftaran pesakit, selain turut dibantu ADUN Rahang, Mary Josephine.
Ishak Sharif, 51, dari Rembau berkata, sejak jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dia masih belum diberi rawatan kerana orang ramai.
"Saya dapat tahu perlu datang ke HTJ pun bila pihak hospital telefon. Sejak tahun lalu saya buat dialisis di PHM, kerana bukan semua hospital ada mesin kerana saya ada epsi.
"Bila saya tahu Hospital Mawar ada masalah, saya cuba cari di Melaka, tapi tiada. Mahu atau tidak saya perlu datang ke HTJ kerana sejak dulu rutin dialisis saya setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat,” katanya.
Lain pula dengan Hasimah Borhan, 61, yang tiba di PHM membawa ayahnya, Borhan Mohd Nor, 86, untuk membuat dialisis kerana tidak mengetahui hospital berkenaan telah pun disita.
Katanya, dia tahu mengenai masalah hospital berkenaan, namun tidak menyangka operasi terpaksa dihentikan sepenuhnya.
"Susahlah macam ini...di HTJ memang ada, tapi ramai pesakit di sana. Kesian dekat ayah saya yang dah tua terpaksa tunggu lama," katanya.