Berang adik jual motosikal, lelaki bakar dapur

Iklan
Tertuduh, Mohd Fauzie dikawal polis keluar dari lokap Mahkamah Kota Bharu untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman tersebut.

KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang penganggur selepas lelaki itu mengaku bersalah membakar ruang dapur rumah keluarganya.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fauzie Abdullah, 33, selepas mendengar pengakuan salah tertuduh.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membakar bahagian dapur rumah bapanya, Abdullah Hamat, 68, sehingga menyebabkan kerosakan kepada pakaian dan barangan dapur di dalam rumah itu.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pemberian, Kuala Krai pada jam 1 pagi, 24 Mac lalu.

Iklan

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amer Sharifuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh juga seorang penagih dadah bertindak membakar dapur rumah itu selepas bergaduh dengan adiknya yang menjual motosikal milik keluarga.

Mohd Fauzie yang berang kemudian mengambil pakaian adiknya dan membakar di ruangan dapur sehingga menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada bahagian tersebut.

Ahmad Bazli menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 29 Mac lalu.