BANDAR SERI BEGAWAN - Malaysia dan Brunei bersetuju supaya pemimpin ASEAN bertemu untuk membincangkan perkembangan di Myanmar.
Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah juga telah menugaskan menteri dan pegawai kanan masing-masing untuk melakukan persediaan yang perlu bagi mesyuarat itu yang akan diadakan di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia.
"Para pemimpin mengesahkan kesediaan ASEAN untuk membantu Myanmar, termasuk melalui pengaruh pejabat Pengerusi ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN secara positif, aman dan membina.
" ...ia kekal demi kepentingan terbesar ASEAN untuk melihat Myanmar menyelesaikan krisis ini dan mendapatkan semula kestabilan,” menurut kenyataan bersama kedua-dua pemimpin yang dikeluarkan pada akhir Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 di Istana Nurul Iman, di sini pada Isnin.
Hari ini merupakan hari terakhir Muhyiddin dalam lawatan rasmi dua hari ke negara ini.
Brunei adalah pengerusi ASEAN 2021.
Dilaporkan rampasan kuasa di Myanmar berlaku dua bulan lalu selepas tentera menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik.
Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah juga menggesa semua pihak agar tidak membangkitkan lagi keganasan dan supaya mengawal keadaan dan fleksibel.
"Para pemimpin menyeru semua pihak yang berkenaan untuk mencari penyelesaian secara aman, mengadakan dialog, mewujudkan perdamaian dan kembali normal mengikut kemahuan dan kepentingan rakyat Myanmar demi keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memajukan pendekatan ASEAN yang proaktif dan berpandangan luar dalam menjalankan hubungan luarannya berdasarkan kepentingan bersama, hubungan konstruktif dan faedah bersama.
Mereka juga bersetuju untuk mengadakan rundingan pemimpin tahunan seterusnya di Malaysia tahun depan. - Bernama