PUTRAJAYA - Sebanyak 20 kluster sektor pendidikan direkodkan di negara ini sejak 20 Mac hingga Ahad, dengan jumlah paling ramai dijangkiti Covid-19 melibatkan Kluster Paloh Rambai di Kelantan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menurutnya, Kluster Paloh Rambai itu melibatkan guru dari pelbagai sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, SK Kok Lanas, SK Pangkal Kalong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas.
Sehingga 25 Mac 2021, sejumlah 347 individu telah disaring dan 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster Paloh Rambai.
Pada sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di sini pada Isnin bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Dr Adham berkata, terdapat juga kluster pendidikan direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan dan Sarawak.
"Jangkitan Covid-19 ini (kluster sektor pendidikan) berlaku melalui rakan sekerja atau kontak sosial," katanya.
Sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19 dibuka semula secara berperingkat mulai 1 Mac lepas.
"Pematuhan SOP (prosedur operasi standard) dan amalan norma baharu, bukan hanya perlu dilakukan di sekolah tetapi juga semasa berada di luar sekolah, dalam komuniti dan lain-lain,” kata Dr Adham.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, apabila kes Covid-19 dikesan di sekolah, petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan hadir bagi membuat penilaian risiko dan penilaian kesihatan seterusnya menasihatkan sama ada sekolah ditutup atau sebaliknya.
"Pasukan kesihatan akan digerakkan untuk membuat siasatan kes atau kluster, pengesanan kes dan kontak, menyelia pihak sekolah dalam menjalankan pembersihan dan disinfeksi.
"Pihak PKD akan membuat penilaian risiko dan kesihatan secara menyeluruh bagi memastikan pengurusan kes dan kluster dapat dijalankan dengan sebaik mungkin,” katanya. - Bernama