Denda RM1 juta bakal menanti pemburu haram: Shamsul Anuar

Iklan
Shamsul Anuar bersama para peserta pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan seramai 201 Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Lenggong pada Isnin. -Foto Bernama

LENGGONG - Penjenayah pemerdagangan hidupan liar di negara ini khasnya pemburu haram, bakal berdepan denda mencecah RM1 juta sebaik sahaja pindaan kepada akta sedia ada selesai dilaksanakan kerajaan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, kerajaan dalam peringkat akhir meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan seterusnya di Parlimen dalam membendung jenayah pemerdagangan hidupan liar di negara ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pindaan itu bakal menambah baik akta tersebut termasuk peningkatan denda daripada RM500,000 ketika ini bagi kesalahan pemerdagangan hidupan liar kepada denda RM1 juta kelak.

"Ini membuktikan kita sangat serius untuk memelihara khazanah negara dengan meningkatkan undang-undang sedia ada bagi mengawal pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar.

Iklan

"Kita kenal pasti jenayah mencuri pemerdagangan hidupan liar sering berlaku melalui jualan secara dalam talian dan eksport yang merugikan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Watikah Pelantikan 201 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Orang Asli di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini pada Isnin.

Untuk rekod, Akta 716 kini selalu digunakan kepada mana-mana pesalah termasuk pemburu haram yang boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Dilapor, Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim pernah memberi cadangan yang sama dalam meminta akta sedia ada pada Ogos tahun lepas sebagai tanda usaha tegas kerajaan membanteras kegiatan pemburuan haram.

Dalam ucapannya, Shamsul Anuar berkata, seramai 135 orang pesalah membabitkan 96 warga tempatan dan 39 warga asing telah ditangkap tahun ini atas pelbagai kesalahan dalam Akta 716 itu dengan nilai sitaan sebanyak RM1.7 juta selain 630 jerat dan 141 khemah pendatang pula telah dimusnahkan.

Selain itu katanya, kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkuasa pada tahun lepas pula telah berjaya menangkap 64 orang pesalah membabitkan 32 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM636,600 dan memusnahkan 433 jerat.

Mengenai program hari ini, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, sehingga kini seramai 538 veteran ATM dan orang asli telah dilantik melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) bagi membolehkan kerajaan terus melindungi hasil negara yang bernilai tinggi.

Beliau berkata, pasukan tersebut akan menjadi mata dan telinga kerajaan di kawasan panas seperti Taman Negara yang dikenal pasti sering menjadi lokasi aktiviti pemburuan haram bagi hidupan liar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, BP3 diperkukuh membabitkan peruntukan RM32 juta dengan penglibatan 600 veteran ATM, veteran polis dan orang asli yang melibatkan kawalan penguatkuasaan seluas 20,000 kilometer persegi di seluruh Taman Negara termasuk kawasan habitat Harimau Malaya yang telah dikenal pasti. - Bernama