IPOH - [DIKEMAS KINI] Tiga saksi dipanggil termasuk pegawai Kedutaan Indonesia untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini pada Isnin bagi perbicaraan bekas Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.
Pada sebelah pagi, mahkamah memanggil saksi pertama dan kedua, Koperal P Paul Vethamuthu dan Koperal Nik Zamri Ismail iaitu masing-masing merupakan jurufoto dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebelum perbicaraan ditangguhkan sementara.
Bersambung pada sebelah petang pada jam 2.15 petang, seorang lagi saksi iaitu pegawai Pejabat Kedutaan Indonesia, Riki Sapari dipanggil memberikan keterangan kepada mahkamah.
Riki memberitahu mahkamah bahawa pada 8 Julai 2019 dia telah dihubungi oleh seorang wanita warga Indonesia dan meminta diselamatkan.
Dia yang berkhidmat di bahagian pengaduan di kedutaan terbabit berkata, wanita itu memaklumkan diperkosa oleh majikannya.
Katanya, panggilan tersebut diterima ketika dia berada di bahagian pengaduan di pejabat kedutaan pada 8 Julai 2019, kira-kira pukul 11 pagi.
"Pada waktu itu saya terdengar seperti orang sedang menangis ketakutan, panik dan berkata berulang-ulang selamatkan saya, tolong saya, tolong selamatkan saya.
"Saya menyuruh dia bertenang dan berbicara dengan sedikit lambat, kemudian saya bisa mengerti semua perbicaraan dengan jelas sehingga memahami apa yang diperkatakan oleh mangsa," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin.
Riki berkata, mangsa menghubunginya sebanyak tiga kali meminta untuk diselamatkan dan dia menasihati mangsa supaya terus ke balai polis.
Menurutnya, balai polis di Ipoh dan agensi pembantu rumah wanita itu turut dihubungi untuk datang dan memeriksa kebenaran laporan di alamat yang diperolehi dari sistem komputer di pejabat kedutaan itu.
Jelasnya, wanita itu turut memaklumkan bahawa majikannya bernama Yong Choo Kiong.
Namun apabila pihak pendakwaan bertanyakan sama ada beliau mengenali Paul Yong, Riki mengakui tidak mengenali majikan mangsa itu.
Pendakwaan bagi kes tersebut dibuat oleh Jamil yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Perak bersama dua Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh.
Perbicaraan tersebut dikendalikan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Sementara, dalam ucapan pembukaan prosiding tersebut, Jamil berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi dan pakar perubatan yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa bagi membuktikan kejadian rogol itu berlaku.
Menurutnya, pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan lisan dan dokumentar untuk menunjukkan bahawa tiada orang lain di rumah tersebut, selain tertuduh dan mangsa semasa kejadian berlaku.
Menerusi ucapan ketika prosiding itu juga, beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi dari Kedutaan Besar Indonesia akan dipanggil untuk mengemukakan keterangan bahawa selepas kejadian itu, mangsa telah menghubungi kedutaan memaklumkan mengenai kejadian dan meminta bantuan.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membuktikan bahawa kes tersebut tidak mempunyai sebarang konspirasi untuk menganiaya atau menggugat reputasi dan kedudukan tertuduh.
Jelas Jamil, pertuduhan yang dikemukakan itu berdasarkan aduan dan hasil siasatan di bawah peruntukan undang-undang.
Turut kelihatan di perkarangan mahkamah pada perbicaraan itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Terdahulu, kehadiran Paul Yong kira-kira jam 8.45 pagi itu disambut lebih 30 penyokongnya yang menaiki bas dengan membawa sepanduk di pekarangan mahkamah.
Pihak polis yang turut berada di pekarangan mahkamah berkenaan meminta penyokong Paul Yong tidak membuat bising serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Turut hadir mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu di mahkamah ialah ADUN Buntong, A Sivasubramaniam.
Perbicaraan hari pertama itu kemudiannya ditangguhkan pada Selasa jam 10 pagi.
Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selepas itu kes tersebut ditangguhkan beberapa kali.