SIMPANG RENGGAM - Semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Parlimen Simpang Renggam dinasihatkan sentiasa mengemaskini senarai golongan fakir, miskin serta asnaf di kawasan mereka tanpa menunggu musim perayaan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, ini bagi memudahkan sebarang usaha untuk menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut dapat dilakukan sepanjang masa dan bukannya hanya menjelang musim perayaan sahaja.
"Kerajaan menyediakan begitu banyak peruntukan melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu dan memastikan golongan tersebut tidak tercicir dari menikmati kemakmuran negara.
"Kita tidak mahu hanya disebabkan kelemahan pentadbiran di peringkat tertentu dan kerenah birokrasi, ada insan seperti warga emas, OKU, anak yatim dan ibu tunggal tidak dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian selepas merasmikan Program Sembang Santai MPKK dan penduduk kampung di Masjid Al-Mustaqim Kampung Tengah Renggam di sini.
Hadir sama Exco Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan; Ketua Amanah Kawasan Simpang Renggam, Mohd Said Jonit dan Ketua Kampung Tengah Renggam, Mohamad Rafiee Saiman.
Menurutnya, Pengerusi MPKK perlu memastikan tidak berlaku sebarang pilih kasih dan dipengaruhi sentimen politik dalam menyenaraikan golongan mereka yang memerlukan, sebaliknya harus dilakukan mengikut keperluan semasa golongan tersebut.
"Kerajaan PH tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dengan menyalurkan bantuan kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya bantuan selama ini diagihkan secara sama rata tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.
"Senarai tersebut harus dikemaskini sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun dan setiap kes baharu mesti dilaporkan kepada pihak berkaitan dengan serta merta bagi memastikan penilaian serta bantuan kepada yang layak dapat disalurkan dengan segera,” katanya.
Menurutnya, tanggungjawab tersebut juga tidak perlu diletakkan sepenuhnya kepada MPKK sahaja, malah semua pemimpin di peringkat akar umbi termasuk kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik boleh memainkan peranan secara bersama.
Katanya, kegagalan mereka bergerak segara aktif akan memberi kesan buruk kepada kerajaan kerana mereka sebenarnya merupakan sebahagian daripada jentera yang berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat bawahan.