Kaji dulu sebelum naik tambang bas ekspres

Iklan
Gambar Hiasan
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap kerajaan melakukan kajian menyeluruh sebelum menetapkan keputusan untuk menaikkan tambang bas ekspres.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai pengguna sudah semestinya mereka membantah kenaikan harga namun ia seakan tidak adil pula kepada pengusaha bas ekspres.

Menurutnya, selepas diambil kira kos ditanggung pengusaha dan beberapa perkara lain, barulah kerajaan boleh melihat apa perlu dilakukan dalam isu tersebut.

"Secara keseluruhan kena tengok kos dulu. Kalau kita kata tak setuju pun tak boleh juga sebab orang yang operasikan bas nak juga keuntungan.

"Kalau tiada keuntungan, bagaimana mereka nak bertahan. Sebagai pengguna, sudah semestinya kita tak mahu naik. Tapi ikut pemandu bas semua, mereka nak juga naik gaji.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tambang bas ekspres akan ambil kira rakyat, operator ]

"Jadi apa keputusan perlu melalui kajian terlebih dahulu, tengok pengusaha pun nak ada keuntungan sebab kos bertambah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, kerajaan juga disaran untuk mempertimbangkan cadangan memberi subsidi diesel bagi mengelakkan berlakunya kenaikan tambang bas dengan mendadak.

"Mungkin kerajaan boleh buat kalau tak nak bagi naik, boleh bagi subsidi diesel. Jadi kalau naik tidaklah banyak mana.

"Mungkin pemandu pun boleh subsidi, kena ada mekanisme lain perlu buat. Kalau boleh kita tak naik sebab ia akan beri kesan lain pula,” ujarnya.

Sinar Harian melaporkan sebarang keputusan kerajaan berhubung kenaikan tambang bas ekspres akan mengambil kira kepentingan rakyat dan operator bas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, buat masa ini perkara itu masih dalam bentuk cadangan dan tiada keputusan dibuat.

"Kita akan timbang permintaan pihak operator dan orang ramai sebelum membuat penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Pengangkutan Jalan di kementeriannya, di sini hari ini.