PUTRAJAYA - Seramai 2,969 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sesi kedua pada Selasa.
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, sesi kedua peperiksaan itu dijalankan bagi calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu kerana disahkan positif Covid-19 atau perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Peperiksaan SPM sesi kedua dilaksanakan bermula 6 hingga 23 April ini di 197 pusat peperiksaan di seluruh negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, calon terlibat dinasihatkan merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
"Jadual waktu peperiksaan SPM 2020 sesi kedua boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/," katanya.
Selain itu, katanya, calon diingatkan agar membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
"Calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
SPM 2020 telah dilaksanakan mulai 22 Februari lepas dan berakhir pada 25 Mac membabitkan sebanyak 83 mata pelajaran yang diadakan di 3,310 pusat peperiksaan dengan seramai 48,014 petugas dilantik seluruh negara.