KUANTAN - Seorang bekas anggota polis hutan kini bertarung nyawa dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak November tahun lalu akibat masalah pada paru-paru.
Adni Abd Ghani, 74, yang pernah melawan pengganas komunis suatu ketika dahulu kini lemah dan terlantar di katil serta mengalami kesukaran untuk bernafas.
Isterinya, Sharifah Norhairani Syed Hamid, 64, berkata, suaminya disahkan menghidap penyakit paru-paru berparut sejak tahun 2017 dan perlu mendapatkan rawatan di Institut Perubatan Respiratori (IPR) di Kuala Lumpur.
Menurutnya, Adni terpaksa mendapat menggunakan mesin bantuan pernafasan sejak lima bulan lalu apabila tahap kesihatannya semakin merosot.
"Penyakit suami saya semakin hari semakin teruk sehingga bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan selama 24 jam sehari.
"Dia boleh bertahan selama 10 minit sahaja tanpa bantuan alat pernafasan. Kalau lebih daripada tempoh itu boleh menyebabkan kehilangan nyawa," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan alat bantuan pernafasan daripada Veteran Pasukan Polis Hutan Kem Galing Yang Pertama Tahun 1970 di rumahnya di Balok di sini pada Isnin.
Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Penyelaras Veteran Pasukan Polis Hutan Kem Galing Yang Pertama Tahun 1970, Rafaie Ab Kadir.
Sharifah Norhairani yang merupakan ibu kepada tujuh anak itu berkata, keadaan itu menyebabkan suaminya hanya mampu terbaring dan tidak boleh bergerak jauh.
"Suami sudah tidak banyak bercakap dan saya sekeluarga reda dengan ujian ini," katanya.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana ada pihak yang sudi menyumbangkan mesin oksigen untuk kegunaan suaminya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada penyumbang. Selepas ini kami tidak perlu lagi menyewa mesin ini lagi.
"Sebelum ini saya terpaksa menyewa alat berkenaan dengan harga RM350 sebulan. Tapi dengan adanya bantuan ini, dapatlah mengurangkan beban kami sekeluarga," katanya.
Sementara itu, Rafaie berkata, sumbangan untuk membeli alat bantuan pernafasan itu dikutip menerusi ahli kumpulan WhatsApp Veteran Polis Hutan Bukit Kem Galing.
"Kita berjaya mengumpulkan wang untuk membeli sebuah mesin bantuan pernafasan berharga RM2,900 dalam masa sehari. Terima kasih kepada semua penyumbang," katanya.