KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka tirai Ramadan tahun ini dengan melaksanakan Program MARA Prihatin Ramadan (MPR) dan perasmiannya diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel pada Ahad.
Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, program tersebut bakal memanfaatkan sehingga 5,000 penerima menerusi 50 program yang telah diatur sepanjang Ramadan.
Menurut Azizah, MPR adalah sebahagian komitmen agensi itu bagi memastikan penerima khususnya dalam kalangan B40, anak yatim dan asnaf dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa ketika penularan Covid-19.
"MARA mahu memastikan bebanan rakyat dapat dikurangkan lebih-lebih lagi dalam suasana ramai yang tertekan berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan disebabkan Covid-19.
"Khusus pada hari ini (Ahad), bantuan disalurkan kepada 1,000 penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan yang sudah dikenal pasti di seluruh Kuala Lumpur,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Program MPR di PPR Laksamana, Jalan Peel di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf; Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Timbalan Presiden Muafakat Kebangsaan, Mohd Nizar Bin Ahmad.
Pada majlis itu, Azizah menyampaikan bantuan persekolahan tajaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada 100 pelajar dari PPR Laksamana.
Selain itu, seramai 20 pelajar daripada keluarga B40 yang ditawarkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) turut menerima bantuan Bantuan Pendidikan MARA (BUDI MARA).
Pada majlis sama, MARA turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada PPR Laksamana untuk program pengimarahan Ramadan.
Azizah berkata, program MPR di PPR Laksamana turut membabitkan pelbagai agensi di bawah MARA termasuk GIATMARA yang menawarkan perkhidmatan penukaran minyak 100 buah motosikal serta pemotongan rambut kepada 100 pelajar sekolah.
Beliau berkata, program MPR adalah sebahagian MARA Prihatin membabitkan dana lebih RM40 juta yang dilaksanakan agensi itu sejak tahun lalu.
"Dana itu juga digunakan untuk moratorium pembiayaan, pendidikan dan perniagaan serta diskaun khas bayaran sewa premis MARA sebanyak 30 peratus.
"Kewujudan MARA selama 55 tahun amat penting bagi memacu pembangunan sosio-ekonomi ke arah negara yang sejahtera.
"Pemilikan ekosistem pendidikan dan keusahawanan yang berkesan membolehkan kita mewujudkan lebih 800,000 usahawan dan 1.1 juta alumni pelajar di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa)," katanya.
Terharu dengan keprihatinan MARA
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Laksamana, Muslim Ismail berkata, program MARA Prihatin yang diadakan di kawasan perumahannya membuka peluang kepada penduduk untuk mengenali lebih dekat fungsi MARA dan agensi yang berada di bawahnya.
Menurut Muslim, MARA yang mempunyai ekosistem pendidikan dan keusahawanan lengkap menyediakan pelbagai kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di sini yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.
"Selain itu, program yang dilaksanakan hari ini memberi manfaat yang banyak kepada penduduk di sini.
"Penganjuran program seperti ini adalah satu penghormatan buat kami. Kami amat mengalu-alukan pihak luar untuk menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di perumahan kami," katanya.
Seorang penduduk, Muhammad Faizal Mokhtar, 42, meluahkan kesyukuran selepas anaknya terpilih menerima bantuan persekolahan menerusi MARA Prihatin.
"Bantuan yang diterima bertepatan dengan keadaan Covid-19 ketika ini.
"Ia membantu meringankan perbelanjaan menyediakan kelengkapan persekolahan buat tiga anak saya.
"Banyak pihak prihatin membiayai persekolahan anak-anak, saya harap bantuan ini memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk berjaya dalam pelajaran," katanya.
Santuni pelajar MRSM
Pada program sama, Azizah turut turun ke dua rumah pelajar yang terpilih menyambung persekolahan di MRSM bagi sesi 2021 bagi menyampaikan bantuan BUDI MARA.
Penerima pertama adalah Nur Qaseh Mellisa Mohd Aizam, 13, dari Sentul yang bakal mengikuti Program Ulul Albab MRSM Sungai Besar, Selangor dan penerima kedua, Nur Adlina Sofiya Mohd Joo, 13, dari Selayang yang menerima tawaran Program Premier MRSM Pasir Tumboh, Kelantan.
Nur Adlina Sofiya berkata, dia sedih terpaksa berpisah dengan keluarga namun turut teruja diberikan peluang untuk belajar di MRSM.
"Saya cekalkan diri untuk belajar jauh demi masa depan yang lebih baik. Saya bukan dari keluarga yang senang dan keluarga banyak berjasa, peluang ini tidak akan saya sia-siakan.
"Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan bawa kejayaan untuk keluarga. Saya ingin bantu keluarga keluar daripada kesusahan,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi guru.
Sementara itu bapanya, Mohd Shukri Mamat, 37, berkata, dia yang diberhentikan kerja sejak November lalu akibat Covid-19 tetap bersemangat dan rela berkorban demi memberikan pendidikan terbaik buat anak sulungnya itu.
"Saya menyediakan peruntukan agak besar untuk persiapan anak saya untuk ke Kelantan dan bersyukur terpilih sebagai penerima bantuan BUDI MARA yang banyak meringankan beban dari segi bayaran yuran dan kelengkapan persekolahan lain.
"Kami tidak buat permohonan sebaliknya pihak MARA yang hubungi untuk salurkan bantuan. Terima kasih kepada MARA kerana ringankan beban kami,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, MARA sentiasa peka dengan keperluan pelajar dan menyediakan bantuan bersesuaian bagi meringankan keluarga kurang kemampuan.
"Kami mahu pastikan tiada pelajar yang terpaksa tolak tawaran masuk MRSM disebabkan masalah kewangan.
"MRSM sendiri sediakan 60 peratus tempat untuk pelajar daripada keluarga B40. Ini menunjukkan MARA mahu pelajar-pelajar ini mendapat pendidikan terbaik dan berjaya," katanya.
INFO BUDI MARA
- Pada tahun 2021, sejumlah RM2. 2 juta diperuntukkan dan seramai 2,000 pelajar di bawah program BUDI MARA yang memfokuskan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada keluarga B40.