Terpaksa 'tidur' di lokap akibat laporan palsu hilang MyKad

Iklan
Suspek ditahan selepas membuat laporan palsu kononnya disamun.

BUKIT MERTAJAM - Helah dua lelaki yang membuat laporan palsu kononnya disamun sehingga menyebabkan kehilangan MyKad, tidak menjadi apabila masing-masing akhirnya terpaksa 'bermalam' di lokap.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki berusia 25 tahun mereka cerita konon disamun ketika sedang menunggang motosikal di Tasek Junjong, Simpang Ampat kira-kira jam 7.30 petang pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa kejadian berlaku ketika dia memberhentikan motosikal di tepi jalan kerana barang terjatuh sebelum dihampiri sebuah motosikal ditunggang lelaki tidak dikenali yang meragut begnya sebelum memecut motosikal.

"Disebabkan kejadian itu, dia mendakwa kehilangan dokumen peribadi termasuk MyKad dan dua buah telefon bimbit serta alat kawalan jauh pagar elektrik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Iklan

Shafee berkata, sebaik menerima laporan kejadian samun itu, pihaknya segera menjalankan siasatan namun mendapati terdapat keterangan meragukan daripada lelaki terbabit.

Katanya, lelaki berkenaan yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau akhirnya mengaku sengaja mereka cerita dan membuat laporan palsu kerana mahu mengelak daripada membayar denda maksimum kepada JPN kerana MyKad miliknya telah beberapa kali hilang.

Iklan

"Ketika disoal siasat, dia mengaku yang beg miliknya hilang di sebuah kedai makan di Tasek Junjong akibat kecuaian sendiri selepas meletakkan beg silangnya di dalam raga sebuah motosikal," katanya.

Shafee berkata, helah sama turut digunakan seorang pekerja kilang berusia 25 tahun yang membuat laporan polis kononnya disamun dua lelaki bermotosikal di Jalan Perusahaan Baru, Perai pada Sabtu.

Lelaki terbabit juga katanya, mendakwa dihampiri dan diacukan pisau sebelum disamun.

"Akhirnya suspek mengakui yang dia telah kehilangan tiga kali kad pengenalan diri dan mengakui terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu membayar denda maksimum dikenakan JPN," katanya.

Shafee berkata, akibat laporan palsu itu, dua lelaki berkenaan terpaksa tidur di dalam lokap selain berdepan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes laporan palsu kononnya disamun mencatatkan peningkatan di SPT dan kebanyakan disebabkan alasan takut didenda JPN selain mangsa telah menggunakan duit syarikat untuk tujuan peribadi.

"Orang ramai diingatkan tidak sesekali membuat laporan palsu kerana ia perbuatan tidak bertanggungjawab dan membuang masa.

‘Polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan,” katanya.