IPOH - Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ipoh di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan lima tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Ruhisham Rusli, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.
Mohd Ruhisham berpangkat lans koperal didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kamunting didakwa secara rasuah meminta suatu suapan, iaitu wang tunai RM400 pada 27 April 2016 daripada seorang lelaki di gelanggang bola tampar, Balai Polis Kamunting untuk tidak mengambil tindakan melakukan ujian air kencing terhadap lelaki tersebut dan seorang lelaki lain kerana disyaki mengambil dadah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suapan, berupa wang tunai RM50 pada tarikh, lokasi dan individu yang sama untuk tidak mengambil tindakan sama.
Sementara pertuduhan ketiga pula, Mohd Ruhisham didakwa menerima rasuah RM100 pada 29 April 2016 daripada seorang lelaki di belakang sebuah stesen minyak di daerah Larut Matang dan Selama untuk tidak mengambil tindakan melakukan ujian air kencing terhadap lelaki tersebut dan seorang lelaki lain kerana disyaki mengambil dadah.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.
Pertuduhan tersebut turut dibaca bersama dengan dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin meminta mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam tertuduh, Ranjit Singh meminta wang jaminan dikurangkan kepada RM8,000.
Indra Nehru menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Taiping sekali setiap bulan sepanjang tempoh prosiding.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Jun depan.