Rancakkan pelancongan domestik

Iklan
Sapti membawa pulang wang tunai RM25,000 setelah berjaya menaikkan ikan kurau seberat 885gram dalam pertandingan itu.

MELAKA - Pandemik Covid-19 yang belum berakhir bukan penghalang melaksanakan program pelancongan seperti pertandingan memancing yang mampu menjana ekonomi penduduk setempat.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, usaha itu perlu bagi merancakkan pelancongan domestik dan lebih penting masyarakat setempat seperti pemilik chalet dan hotel, peniaga makanan, minuman serta penjual umpan.

Iklan
Iklan

Golongan itu juga dapat berkongsi limpahan rezeki dan meraih pendapatan lebih tinggi berbanding hari biasa.

Menurutnya, kerjasama erat itu perlu diteruskan bagi memastikan ekonomi penduduk yang terjejas dapat dipulihkan kembali dan sukan memancing ini dapat menarik kehadiran pelancong domestik.

Iklan

Katanya, industri pelancongan negara berpotensi dibangunkan walaupun dalam suasana normal baharu dan tanpa pelancong luar negara.

"Biarpun bilangan peserta tidak seperti yang direkodkan sebelum ini melebihi 1,500 orang, namun sambutan peserta kali ini hampir mencecah 1,000 orang secara tidak langsung menunjukkan ekonomi penduduk dapat dijana melalui pelancongan domestik dan boleh ditingkatkan selepas ini.

Iklan

"Tourism Malaysia akan lebih agresif melaksanakan program pelancongan dengan kerjasama sektor swasta seperti WAKJALI Event Management selain Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan wakil rakyat kawasan,” katanya.

Dr Ammar dan Nor Azman (belakang, tengah) bergambar bersama johan, naib johan dan tempat ketiga pertandingan memancing itu di Pantai Puteri pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertandingan Memancing Pantai Puteri ‘Surfcasting Challenge’ di Pantai Puteri di sini pada Ahad.

Penyampaian hadiah dan perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Sementara itu, johan yang membawa pulang wang tunai RM25,000 Sapti Tandi, 52, menganggap kemenangan kali pertama itu sebagai rezeki sempena Ramadan.

Bapa tiga orang anak itu mengakui tidak menyangka kemenangan berkenaan setelah lebih 10 kali menyertai pertandingan memancing di negeri ini dan belum merancang membelanjakan wang itu.

Sapti berjaya menaikkan ikan kurau seberat 885 gram kira-kira jam 10 pagi.

"Saya hanya menggunakan umpan cacing pasir dengan udang hidup untuk menaikkan ikan itu dan berterima kasih kepada pihak penganjur,” katanya yang menetap di Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling.

Naib johan dimenangi Samsuri Sulaiman yang membawa pulang wang tunai RM7,000 dan tempat ketiga dimenangi Khairul Anuar Khalid (RM3,000).

Pertandingan anjuran Wak Jali Event Management yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir 1 petang berjaya dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat dan dibantu anggota polis serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).