SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat pembekalan elektronik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada ulang tahun kelahirannya pada Selasa atas pertuduhan memberi rasuah RM10,000.
Ang Boon Chin, 60, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi suapan RM10,000 kepada seorang Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Klang agar tidak mengambil tindakan ke atas syarikatnya, Gallex Enterprise (M) Sdn Bhd, dua minggu lalu.
Boon Chin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan jatuh hukum pada 15 April ini.
Mengikut pertuduhan pilihan, Boon Chin didakwa secara rasuah memberi suapan kepada seorang ejen kerajaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas syarikatnya, yang disiasat atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan di Taman Perindustrian Pandamaran di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini pada 23 Mac lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 15 bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Lo Mei Na merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.
"Sepanjang siasatan dijalankan, anak guam saya memberi kerjasama baik kepada pihak polis.
"Dia juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana keluarga dan perniagaannya ada di sini," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Boon Chin hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini untuk menghadapi pertuduhan beri suapan RM10,000 kepada seorang ejen Kerajaan, dua minggu lalu.