SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk S Anthonysamy Savarimuthu yang menghembuskan nafas terakhir pada Ahad lalu.
Menerusi kemas kini di laman Selangor Royal Office pada Selasa menyatakan Sultan Selangor menghargai komitmen dan kesungguhan mendiang yang berusaha mengangkat kebangkitan pasukan bola sepak di negeri ini sehingga ke zaman kegemilangan beberapa pemain terkemuka seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan beberapa lagi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mendiang juga telah memegang jawatan bekas Setiausaha FAS selama 19 tahun bermula 1974 sehingga 1993.
"Mendiang mula melibatkan diri bersama FAS sejak awal tahun 60-an dan menjadi Ahli Majlis pada tahun 1968.
"Di atas sumbangan dan jasa bakti mendiang, baginda telah mengurniakan bintang kebesaran Darjah Sultan Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2016," katanya.
Tambahnya, Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Presiden FAS turut berharap agar legasi mendiang akan dikenang sebagai antara tokoh berjasa terhadap pembangunan persatuan itu dan bola sepak Selangor.