PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu mempertimbangkan maklum balas pemain dan jurulatih sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menggunakan sistem pemarkahan baharu selepas Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, selain pemain dan jurulatih, BAM juga akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap pendirian negara lain mengenai cadangan oleh Indonesia dan Maldives itu yang menerima persetujuan Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer.
Iklan
Iklan
"Saya percaya ia amat penting untuk mendapatkan data yang relevan daripada pemain, jurulatih dan negara lain mengenai sistem pemarkahan baharu itu sebelum keputusan muktamad diputuskan bulan depan,” katanya.
Mengikut laporan media asing, BWF akan mengundi bulan depan mengenai cadangan menukar sistem pemarkahan semasa iaitu 21 mata dalam tiga set kepada 11 mata (lima set) sebagai usaha meningkatkan sensasi perlawanan dan menjadikan sukan itu lebih menarik untuk ditonton di televisyen.
Ditanya pandangan peribadinya, Kenny berkata, BWF perlu mengadakan ujian terlebih dahulu melibatkan kejohanan besar bagi menilai keberkesanan sistem baharu yang dicadangkan itu.
Bagaimanapun, undi majoriti dua pertiga daripada anggota badan dunia itu diperlukan untuk melaksanakan sistem itu yang akan diputuskan pada mesyuarat agung tahunan BWF yang akan diadakan secara maya pada 22 Mei ini.
Cadangan sama telah digerakkan untuk menukar sistem pemarkahan pada 2014 dan 2018 tetapi gagal mendapat perhatian anggota BWF. - Bernama