Penamaan calon: Suasana meriah tetapi terkawal

Iklan

KAJANG - Keadaan di sekitar pusat penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih meriah pagi ini, apabila kumpulan penyokong berkumpul bagi menanti rombongan calon menuju ke Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian di sini.

Sejak 7.30 pagi, penyokong PH berkumpul di kawasan parkir sebelah kanan dewan, BN di belakang dewan, manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) di belah kiri dewan.

Iklan
Iklan

Keadaan cuaca setakat ini baik dan dijangka melancarkan lagi proses penamaan calon yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

Jalan di sekitar dewan juga ditutup kira-kira 50 meter dari orang awam atau kenderaan yang masuk sejak jam 6.30 pagi.

Iklan

Menurut sumber polis, seramai 733 kekuatan anggota diletakkan di sekitar dewan penamaan bagi menjaga keamanan dan kelancaran trafik.

Setakat ini, selain Muhammad Aiman Zainali daripada PH, dan Zakaria Hanafi mewakili BN, dua lagi calon yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRK DUN Semenyih adalah Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.

Iklan

Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, wakil Pakatan Harapan Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM). Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.

Pengundian awal ditetapkan 26 Feb manakala pengundian 2 Mac. - Bernama