SHAH ALAM - Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual dan dilarang penjualannya di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua produk berkenaan ialah Beautywise Rejuvenating Cream dan Beautywise Rejuvenating Toner.
Katanya, notifikasi produk kosmestik terlibat telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kerana mengandungi hydroquinone dan tretinoin.
"Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
"Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan perlu dihentikan dengan serta-merta.
Katanya, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu untuk segera menghentikan penggunaannya.
Jelasnya, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman web rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada aplikasi telefon pintar.