Malaysia hasilkan 17 juta kilogram sisa makanan sehari

Iklan
Dari kiri: Fazrul, Rokiah, Mustafar dan Husaini ketika Wacana al-Quran siri ke-108 bertajuk 'Sifar Sisa: Apa Solusi?' yang bersiaran secara langsung dari Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Malaysia menghasilkan sebanyak 17 juta kilogram sisa makanan daripada sejumlah 38 juta kilogram sisa pepejal yang dibuang setiap hari.

Pengasas Smart Heritage, Dr Rokiah Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3.4 juta kilogram sisa makanan sebenarnya boleh dielakkan daripada dibazirkan.

Iklan
Iklan

"Sejumlah 3.4 juta kilogram yang boleh dielakkan itu sebenarnya kalau kita jaga dengan betul, ia tidak buang dan tidak membazir. Kita boleh beri makan kepada seramai 2.2 juta orang yang tidak cukup bekalan makanan.

"Memang dari tahun ke tahun, hari ke hari sisa makanan semakin lama semakin meningkat. Peratus sisa makanan atau pepejal sama naik dengan populasi penduduk. Bertambah penduduk, bertambahlah sisa makanan terhasil,” katanya ketika menjadi panelis Wacana al-Quran siri ke-108 bertajuk 'Sifar Sisa: Apa Solusi?' yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Wacana berkenaan dikendalikan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail.

Turut serta ialah Pengasas Tadbir Insan Training dan Consultancy, Mustafar Mohd Suki dan qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur memperdengarkan surah al-Hijr ayat 19 hingga 23.

Iklan

Mengulas lanjut, Rokiah berkata, setiap tindakan yang dilakukan mendatangkan kesan dan akibat kepada manusia sendiri.

Menurutnya, kesan buruk itu dapat dielakkan apabila masyarakat berusaha untuk memperbaiki masalah pembuangan sisa tersebut.

"Dulu ada wabak dari tikus, kita takut kena kencing tikus. Kenapa nak takut? Sebab kita yang beri makan. Itu semua kita yang kena perbaiki semula. Kita yang kena usaha untuk perbaiki.

"Sebab itu kita kena memulihara dan memelihara alam sekitar, kena balik pada asal. Barulah boleh hidup dengan lebih baik dan aman,” ujar beliau.

Tambah beliau, semua pihak perlu memainkan peranan penting dengan membuat tindakan secara integrasi dalam membendung masalah tersebut tanpa bergantung kepada pihak tertentu.

"Benda yang kita beli atau makanan untuk masak sendiri, tetapi kita simpan. Kita lupa, akhirnya pergi ke tong sampah. Sama juga lebihan masak kita. Tak mengapa, kita simpan dan panas, akhirnya tak menjadi.

"Inisiatif kami, kita turun padang. Kita mengajar pelajar tadika, sekolah, universiti macam mana nak turut serta dalam mengurangkan pembaziran makanan yang boleh dielakkan itu," katanya.