Bagan Datuk terima RM87.6 juta bagi projek RTB

Iklan
Ahmad Masrizal (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan tembok penahan yang runtuh di Kampung Teluk Penikam, Bagan Datuk sempena lawatan kerjanya pada Selasa.

BAGAN DATUK - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM87.6 juta bagi membiayai projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Bagan Datuk.

Timbalan Menteri Alam sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pelaksanaan projek secara berperingkat itu dibuat selepas mengambil kira keperluan mendesak terhadap penyelesaian masalah banjir yang sering melanda kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan bentuk muka bumi daerah itu yang rendah dan berkawah mengakibatkan sering berhadapan dengan keadaan pasang surut air laut yang menjadi punca berlakunya banjir teruk di beberapa kawasan Mukim Rungkup dan mukim berhampiran.

"Saya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyediakan pam bergerak di semua lokasi terlibat kawasan banjir sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan masalah banjir dan perkara ini telah pun dilaksanakan.

Iklan

"Bagaimanapun untuk penyelesaian menyeluruh, kita memerlukan langkah pencegahan banjir yang lebih baik dan praktikal dan antara inisiatif utama dilakukan kementerian melalui JPS dengan melaksanakan projek RTB di Bagan Datuk dengan kos RM87.6 juta," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Projek RTB Bagan Datuk pada Selasa.

Beliau berkata, menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kementerian akan membuat permohonan projek baharu bagi projek Rancangan Pemuliharaan Sungai Perak dari Teluk Penikam ke Muara Sungai Perak di Bagan Datuk yang dianggarkan bernilai RM60 juta.

Iklan

Katanya, bagi tempoh sama, RM70 juta lagi akan dimohon daripada kerajaan bagi pembiayaan projek mengorek pulih muara sungai dan parit serta kerja-kerja berkaitan merangkumi empat mukim dalam daerah Bagan Datuk iaitu Mukim Teluk Bharu, Hutan Melintang, Rungkup dan Mukim Bagan Datuk.

"Projek-projek ini kita cadangkan mengikut kepada perkembangan semasa di sini dan Insya-ALLAH kita akan uruskan dalam Rolling Plan Ketiga (RP3)," katanya.

Dalam lawatan itu, Ahmad Masrizal turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM1 juta bagi kerja baik pulih tembok penahan yang runtuh di Kampung Pasang Api dan Kampung Teluk Penikam sepanjang 120 meter yang mengakibatkan berlakunya banjir di kedua-dua kawasan itu, akhir bulan lepas.

Menurutnya, sebelum ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil langkah mengawal banjir dengan membina tembok penahan, namun struktur itu tidak lagi mampu bertahan untuk memberi perlindungan secara keseluruhan berikutan fenomena air pasang besar telah bertindak menghakis tembok sedia ada.

"Tembok penahan ini telah rosak sejak Disember 2019 lagi, tetapi belum ada kerja baik pulih dijalankan dan dengan peruntukan ini, kita harap benteng lebih kukuh dapat dibina. Kita akan selesaikan kerja-kerja baik pulih ini dengan kadar segera dengan jangkaan siap sebelum akhir tahun ini," katanya.