RAUB - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami di Felda Lembah Klau, di sini terbakar pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Shafian Zainal Abidin, 43, bersama keluarganya tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri kahwin di Mempaga.
Menurut Shafian, dia hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas menerima panggilan daripada jirannya.
"Saya, isteri dan tiga anak tiada di rumah kerana pergi ke kenduri kahwin.
"Tiada apa yang dapat diselamatkan, semuanya musnah termasuk sebuah motosikal," katanya pada Sinar Harian pada Selasa.
Shafian yang telah menyewa di rumah tersebut sejak 12 tahun lalu bagaimanapun bersyukur kerana ia tidak membabitkan sebarang nyawa walaupun mengakui bersedih atas kejadian menimpa keluarganya.
Jelasnya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga menumpang di rumah kakaknya.
Bagi yang ingin meringankan beban keluarga tersebut boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (156244025247) atas nama Shafian Bin Zainal Abidin.
Sementara itu, Ketua Zon 3, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai tujuh anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dibantu 10 anggota dari BBP Bentong terlibat dalam operasi pemadaman.
Menurutnya, operasi turut dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Klau.
"Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air tangki pam jentera," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.