Pendidikan politik, syarat layak undi, had umur perlu digabungkan: Pas

Iklan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Pendidikan politik dan syarat-syarat kelayakan mengundi hendaklah digabungkan dengan had umur sebagai satu cara yang bijaksana, matang dan sejahtera bagi memastikan individu yang memilih pemimpin juga mempunyai integriti.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam mensyaratkan soal keahlian dalam melaksanakan tugas tertentu yang mewajibkan iman, Islam dan akhlak sebagai garis panduan dalam mencipta kepimpinan berintegriti.

Iklan
Iklan

Justeru menurutnya, syarat yang menetapkan kayu ukur umur sahaja tanpa meletakkan syarat-syarat keahlian yang lain terlalu banyak kekurangannya.

"Sebagaimana yang telah menjadi amalan dalam demokrasi barat. Ternyata sudah terdapat negara yang dikuasai dengan cara yang tidak bermoral dengan memilih orang yang tidak bermoral. Pada masa yang sama, melakukan pelbagai salah laku, rasuah, kongsi gelap, mafia, kartel dadah, samseng dan sebagainya.

Iklan

"Apakah yang akan berlaku kepada urusan negara dan umat, sekiranya para pemimpin dan pemilihan pemimpin itu tidak diletakkan syarat seorang yang menjaga kewibawaan diri dengan beriman dan berakhlak mulia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Beliau menjelaskan, dalam Islam, peringkat umur bagi menentukan penunaian kewajipan dibahagikan kepada tiga iaitu mumaiyiz (boleh membezakan baik-buruk), baligh dan al-rusyd (kematangan menilai dan mengurus).

Iklan

Katanya, pergaulan dan keadaan sekeliling boleh mempengaruhi akhlak seseorang.

"Tambahan pula, pada zaman kini dengan sistem pendidikan yang masih terlalu banyak kelemahan, hilangnya kehebatan undang-undang dan penguatkuasaan, tersebarnya pengaruh media tanpa sempadan akhlak dan agama, berlakunya gejala dadah dan dedah yang melampau," katanya.

Justeru tambah beliau, hanya mereka yang mahu berkuasa dengan matlamat menghalalkan segala cara sahaja akan mendukung prinsip siapa sahaja boleh menjadi calon dan mengundi untuk menenangkannya dalam pilihan raya tanpa mempedulikan akibat daripada langkah yang salah.

"Ambillah contoh yang baik, walaupun daripada sesiapa dan dari mana datangnya. Jangan menerima apa sahaja perkara, sekalipun ia perkara luar biasa dan di luar tabii manusia yang bijak dan waras. Sehingga pencetusnya dinamakan dengan ahli falsafah.

"Justeru itu, pendidikan politik dan syarat-syarat kelayakan mengundi hendaklah digabungkan dengan had umur sebagai satu cara yang bijaksana, matang dan sejahtera. Maka terlaksanalah slogan kepimpinan melalui teladan yang sudah dilupakan oleh Melayu yang mudah lupa," katanya.