KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang mengalu-alukan keputusan kerajaan mengembalikan jajaran asal Seksyen C Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang seperti yang dicadangkan pada tahun 2016-2017.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sememangnya mengharapkan projek itu diteruskan mengikut perancangan asal jajarannya.
Menurutnya, jajaran itu dikenalpasti berdasarkan kajian yang teliti, namun ia telah diubah ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Keputusan baharu sebagaimana yang dinyatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Isnin disokong penuh dan memang itu yang kita usahakan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2021 di sini pada Selasa.
Keputusan mengembalikan jajaran Seksyen C Projek ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang diluluskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 September 2020 dan kabinet pada 31 Mac lepas mahu pelaksanaan Seksyen C ECRL itu dilaksanakan serta-merta.
Jajaran asal Seksyen C yang juga dikenali sebagai Jajaran Utara melibatkan laluan ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah.
Kementerian Pengangkutan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan bagi menyelia pelaksanaan Projek ECRL mendapati Jajaran Utara akan meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial.