AirAsia berhasrat ambil semula pekerja yang diberhenti

Iklan
Tony Fernandes

KUALA LUMPUR - AirAsia Group Bhd menyasarkan untuk mengambil semula pekerjanya yang terpaksa diberhentikan pada tahun lepas susulan impak Covid-19, apabila perniagaan syarikat penerbangan itu kembali pulih.

Sambil mengakui keputusan pemberhentian khidmat kira-kira 2,000 pekerja terbabit sebagai satu tragedi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes turut berikrar untuk mengambil khidmat mereka terbabit serta yakin dengan kemampuan syarikat penerbangan tambang rendah tersebut.

Iklan
Iklan

"Kehilangan 2,000 pekerja akibat impak Covid-19 merupakan satu tragedi untuk kami. Oleh itu sebelum bersara, saya perlu pastikan kesemua mereka dapat diambil semula.

"Inilah sasaran saya, malah saya yakin ini dapat dilakukan apabila aktiviti penerbangan kembali beroperasi serta disokong oleh perniagaan lain kumpulan ini,” katanya pada acara Reimagining Malaysia Assets (Reset) 2021 pada Selasa.

Iklan

Reset 2021 yang dihoskan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), merupakan persidangan secara maya selama empat hari yang dianjurkan oleh Persatuan Jurutera Petroleum Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia serta Informa Markets Malaysia.

Pada Oktober tahun lepas, AirAsia dan syarikat sekutunya yang juga penerbangan jarak jauh, AirAsia X mengesahkan langkah pemberhentian kira-kira 10 peratus daripada 24,000 tenaga kerjanya berikutan kesukaran sektor penerbangan untuk bangkit semula dalam masa terdekat akibat pandemik tersebut.

Iklan

Fernandes berkata, kewujudan AirAsia juga berteraskan perubahan pengurusan yang memudahkan pekerja berpindah kerja.

Perubahan pengurusan merupakan terma yang merujuk semua pendekatan untuk melakukan persiapan, sokongan, membantu individu, pasukan dan syarikat membuat perubahan di peringkat organisasi.

"Kami adalah syarikat penerbangan pertama (ASEAN) dengan barisan juruterbang wanita iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah ASEAN.

"Oleh itu, budaya dalam AirAsia ini menetapkan asas perubahan dan itulah juga kemahiran kami. Sebagai syarikat penerbangan dengan saiz seperti ini, kami mempunyai kesatuan sekerja sendiri -- sesuatu yang tidak dimiliki oleh syarikat penerbangan dunia lain dengan saiz serupa,” katanya.

Fernandes juga menyifatkan kelangsungan AirAsia itu disokong oleh strukturnya, amalan meritokrasi serta kemampuan untuk mengurus perubahan.

Namun, baginya, aspek terpenting dalam AirAsia adalah bakat atau tenaga kerjanya.

"Anda boleh lakukan apa saja sekiranya terdapat struktur, persekitaran wajar dan paling penting adalah barisan pekerja yang tepat. Bagi saya, inilah teras kekuatan kami.

"Mungkin kami tidak mempunyai jumlah tunai yang diinginkan, tetapi ini diatasi dengan membentuk barisan bakat, pekerja (yang tepat), bersemangat serta kemampuan untuk yakin bahawa kami mampu melakukan apa sahaja,” katanya.

Menurutnya, AirAsia turut menubuhkan Redbeat Academy hasil kerjasama dengan Google yang menjadi sebahagian daripada aspirasi untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja berikutan hakikat penerbangan yang tidak terkecuali daripada Revolusi Perindustrian 4.0.