Padah belasah madu dengan payung

Iklan
Suriyawati (kiri) bersama anak perempuannya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa atas tuduhan menyebabkan cedera terhadap isteri pertama.

KOTA BHARU - 'Ibu terjah, awak pun terjah'. Itu teguran tegas Majistret Kamarul Hasyimie Rosli terhadap seorang penuntut kolej tahun satu yang disaman jenayah bersama ibunya di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana menyerang madu ibunya dengan memukul menggunakan payung.

Remaja perempuan berusia 19 tahun itu dikenakan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 atau setahun penjara.

Iklan
Iklan

Ibunya yang merupakan suri rumah, Suriyawati Jusof, 43, pula didenda RM500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.

Mereka dihukum selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas isteri pertama, Roslina Abdullah, 35, di alamat Taman Guru Kem Desa Pahlawan Kok Lanas di sini pada jam 10.40 malam, 11 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sebelum itu, Kamarul Hasyimie menegur perbuatan dua beranak terbabit terutama ibu yang mengheret sama anaknya dalam kes berkenaan.

"Sekarang ini macam mana? Baru tahun pertama masuk kolej, perjalanan hidup masih jauh.

"Kenapa perlu ikut perbuatan ibu? Kalau ada rekod, mesti menjejaskan masa depan,” katanya tegas kepada remaja itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Erdabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Norzaimah Mohamed.

Berdasarkan fakta kes, Suriyawati bersama anak keduanya itu dan seorang lagi anak lelakinya pergi ke rumah mangsa dan tiba-tiba menyerang dengan memukul madunya itu menggunakan payung.

Mangsa turut disepak hingga terjatuh dan cedera pada siku serta tangan kerana kena tar.

Kejadian dilihat suami mereka dan jiran tetangga.

Isteri kedua tersebut kemudian membayar denda.