KPDNHEP bongkar kegiatan pindah minyak diesel secara haram

Iklan
Saharuddin (berbaju putih) menunjukkan bagaimana pam yang disambung ke tangki bot kargo dipercayai untuk memindahkan diesel ke tangki lori jenis Volvo 400.

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya membongkar kegiatan pemindahan minyak diesel dari tangki bot kargo ke lori tangki tanpa kebenaran.

Kegiatan haram yang dipercayai dilakukan di tengah laut dibongkar susulan rampasan sejumlah 53,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki dan dua buah bot kargo dengan nilai keseluruhan hampir RM1 juta dalam serbuan di sebuah stor pelupusan bahan binaan di Kampung Teluk Pasu di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan pada jam 12.15 pagi yang dibuat selepas risikan hampir dua bulan turut menahan lima lelaki tempatan berusia 30-an bagi siasatan lanjut.

"Tiga daripada mereka yang disyaki pekerja premis ditahan ketika leka membuat penyelenggaraan terhadap sebuah pam disambungkan dengan getah paip lutsinar, seorang ditemui berada di atas bot di lokasi manakala seorang lagi menyerah diri pada keesokan harinya (Selasa).

Iklan

"Turut dijumpai sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan sebuah lori tangki jenis Volvo 400 di dalam premis tersebut. Pemeriksaan mendapati terdapat satu pam yang bersambung dengan paip getah lutsinar di tepi lori tangki yang disambungkan ke arah belakang premis tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jeti Kampung Teluk Pasu, Manir di sini pada Selasa.

Saharuddin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua buah bot kargo diparkir di jeti di bahagian belakang premis tersebut.

Iklan

"Turut dikesan sebuah pam disambung terus ke tangki bot kargo dan bersambung dengan pam di tepi lori tangki anggaran lebih kurang 23,000 liter diesel di dalam tangki lori dan lebih kurang 30,000 liter diesel di dalam tangki bot.

"Kelima-lima lelaki berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak muhasabah untuk melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.