KUALA LUMPUR - Penginapan di hotel dalam negara meningkat sebanyak 24 peratus selepas hampir sebulan aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan pada 10 Mac lepas.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) itu juga merekodkan trend peningkatan sebanyak 33 peratus penginapan di hotel semasa cuti sekolah minggu lepas.
Beliau berkata, sebelum pelancongan rentas negeri PKPP dibenarkan, penginapan di hotel pada Januari hanya sekitar 20 peratus manakala pada Februari pula ialah 18 peratus.
Pada 9 Mac lepas, kerajaan mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar namun ia tertakluk kepada SOP ketat dan perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah kementerian itu.
Sepuluh negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan (Wilayah Persekutuan) Labuan diletakkan di bawah PKPP hingga 14 April ini.
Nancy juga berkata, Jabatan Warisan Negara telah mewartakan 213 resipi sebagai resipi hampir pupus dan berharap lebih ramai masyarakat dan pengusaha hotel tempatan menyajikan makanan warisan itu.
"Saya percaya kaedah mempromosi makanan warisan Malaysia ini akan menjadi sesuatu yang begitu mengujakan serta unik kerana sajian ini hanya terdapat di kawasan terpencil, begitu juga dengan sesetengah bahannya yang hanya boleh didapati di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Menu Warisan dan Hampir Pupus Negara di Restoran Open House, Suria KLCC pada Selasa.
Antara makanan yang akan disajikan di restoran itu sempena pelancaran menu tersebut ialah sambal tumis udang umbut tuhau, ikan patin asam tempoyak daun pijat, pulut kukus periuk kera dan sambal neraka. - Bernama