KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada Selasa mengumumkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) bernilai RM35 juta bagi memperkasa inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keutamaan pemberian geran itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakan program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) serta Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di peringkat kategori Zon Rendah Karbon.
Menurutnya, PBT lain yang menunjukkan komitmen melalui penyediaan polisi, kolaborasi serta pelaksanaan inisiatif rendah karbon akan dipertimbangkan menerima geran berkenaan.
"Geran ini diharap dapat menjana peluang ekonomi setempat, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Saya menggesa agar lebih banyak PBT untuk turut serta dalam usaha negara bagi mewujudkan lebih banyak bandar rendah karbon,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
LCCF adalah rangka kerja pembangunan rendah karbon peringkat perbandaran untuk panduan PBT, universiti dan pihak berkepentingan yang dibangunkan pada tahun 2011.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, menerusi program Bandar Rendah Karbon, jumlah keseluruhan pengurangan karbon di seluruh negara yang direkodkan dari tahun 2011 hingga 2020 adalah 148,572.20 tan karbon setara (CO2e).
Sementara jumlah penyerapan karbon yang dicapai bagi tempoh sama menerusi program itu adalah sebanyak 43,682.75 tan karbon dioksida (CO2).
"Usaha-usaha pengurangan karbon yang dilakukan di seluruh negara ini adalah bersamaan dengan 4.8 juta batang pokok,” katanya. - Bernama