KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri sanggup berkorban wang ringgit sehingga mencecah RM30,000 dengan mencuba pelbagai inisiatif sepanjang lapan tahun demi menimang cahaya mata.
Penantian pasangan suami isteri, Zairi Anuar Zakaria, 38, dan Nurfidiamil Rozali, 37, ternyata berbaloi setelah mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar menggunakan kaedah Persenyawaan In-Vitro (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dua tahun lalu.
Lebih menggembirakan, bayi kembar mereka ialah bayi ke-100 dan ke-1,001 dilahirkan menggunakan kaedah itu di hospital berkenaan.
Menurut Zairi Anuar, wang ringgit yang dihabiskan bukan ukuran, malah ia tidak dapat menggambarkan kegembiraan dan rasa syukur atas anugerah terindah itu.
"Dalam tempoh lapan tahun banyak kaedah digunakan untuk mendapatkan zuriat. Selain pemakanan kesihatan, kami turut mencuba kaedah tradisional, empat kali kaedah Intrauterine Insemination (IUI) bermula 2014 dan terakhir ialah kaedah IVF.
"Kami bersyukur, percubaan kali ketiga IVF berjaya, isteri disahkan hamil pada 2018 dan kami mendapat sepasang bayi kembar pada Januari 2019,” katanya kepada Sinar Harian.
Zairi Anuar berkata, dia dan isteri mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan merancang memperoleh cahaya mata dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, katanya, perancangan daripada ALLAH SWT mengatasi segalanya apabila mereka diuji dengan tempoh masa yang lama untuk mendapat penyeri rumah tangga."Bagi saya, tempoh lapan tahun yang dilalui sebelum ini jangka masa yang mencabar. Pelbagai dugaan yang datang termasuk tanggapan sekeliling.
"Sebagai suami, saya perlu kuat. Mungkin bagi lelaki tidak terlalu memikirkan ‘cakap orang’ tetapi bagi isteri mereka agak sensitif dan emosi mudah terganggu apabila ditanya hal zuriat,” katanya.
Sementara itu, Nurfidiamil berkata, selepas disahkan hamil, beliau berusaha menjaga pemakanan yang betul bagi memastikan tahap kesihatan bayi yang akan dilahirkan.
"Selepas dapat tahu hamil, saya cuba sebaik mungkin untuk menjaga kesihatan.
"Syukurlah, kedua-dua anak saya lahir dan membesar dengan sihat dan kini sudah mencecah usia dua tahun,” katanya.