Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Iklan
Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim didedahkan di media sosial.

Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, dalam video berdurasi 4 minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu menerusi panggilan telefon.

Suara itu mengatakan sudah 22 tahun dia tidak mengikuti perhimpunan tersebut secara dekat.

Iklan

"Saya sudah 22 tahun baru saya 'follow' Perhimpunan Agung UMNO, I tengok ucapan 'you' bagus, 'you' ada 'mention' MT (Majlis Tertinggi), kemudian 'end off point' kita nak 'finish the game', tapi kalau 'you' dah fikir untuk mandat tu oklah cuma ada kerja sikit dengan MT lah," katanya.

Sementara itu, suara dipercayai mirip Ahmad Zahid pula mengatakan bahawa ucapan tersebut hanyalah bersifat taktikal dan mudah dilakukan serta sudah mendapat mandat yang kukuh daripada perwakilan UMNO.

Iklan

"You tahu siapa cikgu saya kan. Cikgu saya yang mengajar ucapan ini orang saya sedang bercakap inilah," katanya sambil ketawa bersama.

Suara mirip Anwar berkata, Majlis Pimpinan Pusat PKR turut mendengar ucapan tersebut dan ia penting kepada beliau untuk melakukan perbincangan.

"Cuma orang yang tidak tahu latar belakang tentang DAP dia bimbang lah.. tetapi bila sampai ‘conclusion’ itu jauh lebih baik daripada keputusan MT. Sebelum ini tunggu pilihan raya tetapi ini tidak, pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu suara mirip Ahmad Zahid berkata, apabila mandat diberikan kepada presiden maka ia lebih mudah daripada usul.

Antara perkara yang turut dibualkan ialah tentang Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah ditolak oleh perwakilan ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.

Selain itu, suara lelaki mirip Anwar turut menyatakan tentang harapan ada menteri letak jawatan lepas perhimpunan tersebut namun perkara itu tidak berlaku.

"Cuma tak dapat seorang menteri letak jawatan, tidak ada yang berani, hanya yang Perak, Shamsul (Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah), kalau dia boleh (letak jawatan), kalau saya (Shamsul) respect mood perhimpunan, saya orang UMNO, saya patuh.. ambil, tapi tak apalah kita tengok siapa," katanya.

Perbualan terakhir suara mirip Anwar memberitahu bahawa usaha mereka masih belum berakhir dan mengarahkan individu dipercaya Ahmad Zahid itu untuk melaksanakan mesyuarat tergempar MT.

"Cuma sekarang tak habis lagi tu.. kita ada sikit lagi.. kalau you dapat mengadap maknanya you kena 'emergency' MT tau, takut nanti you tak boleh jawab macam sekarang," katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, parti itu membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, semua menteri dan timbalan menteri daripada parti itu telah memberikan jaminan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sehingga kerajaan dibubarkan bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut difahamkan bahawa kluster menteri iaitu kumpulan yang kini dirujuk sebagai menteri UMNO dalam kerajaan PN bersama timbalan-timbalan menteri UMNO telah duduk berbincang mengenai langkah yang akan mereka ambil berhubung hala tuju dan masa depan parti.