SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO menafikan pertengkaran dan perselisihan faham wujud dalam parti apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO digesa untuk menyegerakan pemilihan kepimpinan parti itu.
Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin sebaliknya berkata, gesaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar MKT menyegerakan pemilihan kepimpinan parti itu bersifat peribadi.
"Saya tidak melihat itu sebagai satu pertengkaran atau satu perselisihan faham dan itu hanya pandangan peribadi (Khairy)," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-245 bertajuk ‘Rasional Pemilihan UMNO Selepas PRU15 disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.
Wacana turut menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Beliau menjawab pertanyaan adakah sebenarnya sudah ada ura-ura pentengkaran serta perbalahan dalam UMNO sehingga Khairy dalam beberapa kenyataan mempertikaikan pemilihan UMNO dan perjawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih lagi terpalit dengan pendakwaan kes di mahkamah.
Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin berkata, perbezaan pandangan itu membuktikan parti itu bersifat terbuka dalam menerima pandangan dan teguran namun keputusan muktamad terletak di tangan MKT.
"Kita dah bagi tanggungjawab kepada MKT untuk membuat keputusan jadi memang ada kritikan dan pandangan berbeza kerana UMNO adalah sebuah parti yang terlalu lama bertapak di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, UMNO hanya tumbang sekali dalam tempoh 60 tahun dan keadaan itu berbeza ketika Pakatan Harapan menerajui kerajaan apabila hanya mampu bertahan selama 22 bulan.
"Jadi rakyat masih rindukan UMNO setelah kita melihat Pakatan Harapan tidak mampu menunaikan janji mereka dan akhirnya mereka tumbang dalam masa 22 bulan oleh kerana 'penipuan' yang dilaksanakan dan telah dilakukan oleh mereka.
"Alhamdulillah rakyat Malaysia melihat kelebihan-kelebihan BN (Barisan Nasional) itu sendiri... tidak kiralah UMNO ke Pas ke, PKR (Parti Keadilan Rakyat) pun masing masing ada pandangan dan juga teguran antara pemimpin-pemimpin muda dan juga pemimpin atasan.
"Jadi saya melihat UMNO (BN) ini lebih matang dalam menerima teguran," katanya.
Mengenai kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO namun masih terpalit dengan tindakan mahkamah beliau berkata, keadaan itu boleh menimpa sesiapa sahaja termasuk dirinya.
Muhamad Muqharabbin bagaimanapun berkata, keputusan sama ada Ahmad Zahid bersalah atau sebaliknya hanya akan diputuskan di mahkamah.
"Apa jua yang terpalit terhadap Presiden kita boleh juga terpalit kepada saya juga kalau saya disabitkan atau dimasukkan ke mahkamah (namun) belum tentu saya bersalah," katanya.
Tambahnya, keadaan yang sama dilalui bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak namun Ahli Parlimen Pekan itu masih menjalani perbicaraan di mahkamah.