PERTUBUHAN Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat telah bekerjasama dengan Ayam Gepuk Pak Gembus Malaysia (AGPGM) dan mensasarkan peningkatan kecekapan dalam pemasaran dan pengurusan pengeluaran bekalan makanan.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, persepakatan dua hala melalui perjanjian itu secara langsung membantu dalam meningkatkan pendapatan usahawan tani.
"Perjanjian ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan memperkasakan kerjasama strategik antara PPK Kuala Langat dan AGPGM. Ia juga dapat meningkatkan keberkesanan pemasaran dan mewujudkan pasaran industri makanan yang lebih luas.
"Objektif perjanjian ini juga dijangka dapat meningkatkan sumber pendapatan usahawan, menyumbang kepada pengeluaran makanan negara serta menyediakan platform memasarkan produk berasaskan agro makanan pada harga yang berpatutan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PPK Kuala Langat dan AGPGM di Auditorium Tun Ahmad Sarji, Menara LPP di sini pada Selasa.
Nik Muhammad Zawawi berkata, kolaboratif berkenaan dilakukan dengan AGPGM kerana yakin dengan potensi perniagaannya akan maju pada masa akan datang.
"AGPGM mempunyai banyak kelebihan dan mempunyai 46 cawangan di seluruh negara. Ia menunjukkan perniagaan ini telah berjaya dan mempunyai potensi yang cerah.
"Kita juga akan bekerjasama dengan syarikat lain pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, melalui perjanjian tersebut akan memberi manfaat kepada petani, PPK dan LPP dan membantu usahawan-usahawan peladang.
"Dengan adanya projek ini, ia dapat membuka peluang dan dijangka menarik minat lebih banyak pihak khususnya usahawan agro makanan untuk bekerjasama dengan PPK Kuala Langat.
"Dengan adanya kolaboratif sebegini, ia akan memberikan peluang kepada petani, peladang dan penternak untuk memasarkan produk mereka sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah AGPGM, Mohd Firdaus Abdul Wahid berkata, kerjasama itu dilihat sebagai perkongsian strategik yang komprehensif pada masa hadapan.
Katanya, AGPGM mensasarkan pembukaan sebanyak 100 unit cawangan AGPGM baharu pada tahun ini.
"Buat masa ini APGPM telah mengenal pasti potensi pembangunan industri penternakan dan pertanian. Kami berharap ia dapat membantu secara langsung kepada petani khasnya dan penduduk setempat umumnya.
"Oleh yang demikian saya yakin kerjasama ini sebagai pemulih bagi perkongsian strategik dapat melihat peluang-peluang yang boleh diterokai dalam membangunkan industri tempatan.
"Ia dapat direalisasikan secara optimum seperti sektor pertanian, penternakan ayam dan pusat penyembelihan ayam berteknologi tinggi,” katanya.