KUALA LUMPUR - LPB Development Sdn Bhd (LDSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Lagenda Properties Berhad (LPB) menandatangani perjanjian usaha sama dan pemegangan saham (JVSA) dengan BDB Land Sdn Bhd (BLSB).
BLSB merupakan anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB).
Menerusi kerjasama itu, LDSB akan bergabung dengan BLSB dalam perusahaan usaha sama BDB Lagenda Sdn Bhd (BDBLSB).
BDB dalam satu kenyataan berkata, BDBLSB akan melaksanakan projek pembangunan bersama rumah mampu milik iaitu Darulaman Putra di Sungai Petani, Kedah.
Perjanjian usaha sama berkenaan ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BDB, Faris Najhan Hashim; Pengarah BDB Land, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli; Pengerusi LPB, Datuk Marcus Doh dan Pengarah Urusan LPB, Datuk Jimmy Doh.
"Perjanjian usahasama itu turut menyaksikan syarikat usaha sama BDBLSB ditubuhkan di mana kedua-dua pihak memiliki kepentingan 50 peratus di dalam syarikat berkenaan.
"BDBLSB akan bertanggungjawab dalam melaksanakan projek pembangunan perumahan mampu milik iaitu Darulaman Putra melibatkan lima bidang tanah berkeluasan sekitar 229.99 ekar di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut BDB, projek pembangunan Darulaman Putra akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun merangkumi unit kediaman mampu milik, bangunan komersial serta dilengkapi dengan pusat komuniti dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM565 juta.
"Perbandaran tersebut terletak di Sungai Petani serta berhadapan dengan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), sekali gus menjadikan ia lokasi yang strategik dan berpotensi tinggi untuk berkembang pesat pada masa akan datang,” katanya.
BDB berkata, projek pembangunan berkenaan mempunyai kediaman teres setingkat dan ditambah dengan beberapa elemen pembangunan komersial yang dibangunkan secara berperingkat, malah kedudukannya yang strategik berdekatan pusat bandar Sungai Petani.
Sementara itu, Faris Najhan berkata, BDB berkeyakinan terhadap Lagenda Properties kerana kejayaan dan pengalaman syarikat itu dalam membangunkan bandar mampu milik.
"Kerjasama ini menunjukkan komitmen BLSB dalam memberi peluang kepada warga Kedah untuk memiliki rumah mampu milik. BLSB akan terus menjadi pemangkin pembangunan perbandaran di Kedah dan akan terus menyokong kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada penduduk di Kedah,” katanya.
Menurutnya, usaha sama antara BLSB dan LPB dapat membantu lebih ramai kumpulan pendapatan B40 dan M40 untuk memiliki rumah impian mereka dengan harga berpatutan.